SAUDARA PENGARANG,
Saya ingin menarik perhatian pihak berkuasa tempatan berhubung isu lambakan anjing liar yang semakin membimbangkan di sekitar Pekan Bagan Datuk dan kawasan berhampiran.
Isu ini bukan lagi perkara kecil kerana ia melibatkan soal keselamatan pengguna jalan raya.
Baru-baru ini, seorang anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Bagan Datuk dilaporkan cedera parah dan terpaksa dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) selepas terbabas ketika cuba mengelak anjing liar di Jalan Kampung Sungai 3, Rungkup.
Malah, pernah berlaku dua wanita warga emas dilaporkan terjatuh motosikal selepas terlanggar anjing liar.
Keadaan ini amat membimbangkan kerana kejadian melibatkan anjing liar dilihat semakin kerap berlaku terutama pada waktu malam apabila haiwan tersebut bebas berkeliaran di atas jalan raya.
Apa yang menjadi persoalan orang ramai ialah bilakah kali terakhir operasi dilakukan pihak berkuasa tempatan menangkap anjing liar dilakukan di kawasan Pekan Bagan Datuk?
Penduduk setempat berharap pihak berkuasa tempatan dapat memandang serius perkara ini sebelum lebih banyak nyawa terancam atau berlaku kemalangan lebih buruk.
Operasi pemantauan dan tangkapan anjing liar perlu dipergiatkan secara berkala terutama di kawasan kampung, pekan dan laluan utama yang sering digunakan penunggang motosikal.
Selain mengganggu keselamatan pengguna jalan raya, kehadiran anjing liar dalam jumlah banyak juga menimbulkan rasa takut dalam kalangan penduduk termasuk kanak-kanak dan warga emas.
PRIHATIN
Bagan Datuk, Perak















