GEORGE TOWN – Seorang penunggang motosikal dilaporkan parah akibat tersepit di bawah kereta dalam kemalangan di Mutiara Idaman 1, Jelutong di sini, hari ini.
Mangsa lelaki berusia 22 tahun itu mengalami kecederaan pada kepala dan pendarahan pada telinga.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian berlaku pada pukul 1.30 tengah hari dan kemudiannya bergegas ke lokasi kejadian.
Menurutnya, operasi menyelamat melibatkan keanggotaan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Perak.
“Kemalangan melibatkan sebuah kereta jenis Proton Persona yang dipandu seorang wanita berusia 25 tahun dengan dan sebuah motosikal jenis Honda Wave yang ditunggang mangsa.
“Penunggang motosikal dilaporkan tersepit di bawah kereta dan anggota menjalankan kerja-kerja mengeluarkan mangsa menggunakan peralatan khas. Dalam kejadian itu, pemandu kereta ditemukan selamat.
“Mangsa yang parah telah diberi rawatan awal oleh pihak perubatan Bulan Sabit Merah dan diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan (KKM) bagi mendapatkan rawatan selanjutnya.
Tambahnya, operasi menyelamat tamat sepenuhnya pada pukul 2.31 petang tadi. – KOSMO! ONLINE














