fbpx
Dr. Rohana (tengah) semasa merasmikan Hari Buah Pinggang Sedunia 2026 di Neo Medicare, Kubang Kerian dekat Kota Bharu hari ini. Foto oleh ROHANA MOHD. NAWI / KOSMO!

Ubat tidak berdaftar cetus lonjakan pesakit dialisis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KOTA BHARU – Pengambilan ubat-ubatan yang tidak berdaftar dengan Kementerian Kesihatan (KKM) dikenal pasti menjadi punca utama yang menyumbang kepada peningkatan pesakit menerima rawatan dialisis di Kelantan.

Timbalan Pengarah (Perubatan) Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK), Dr. Rohana Daud berkata, setakat ini, seramai 2,000 pesakit buah pinggang sedang menerima rawatan dialisis dan jumlah itu dijangka terus meningkat jika kawalan pengambilan ubat tidak dijalankan.

Menurutnya, hasil kajian JKNK mendapati, ubat-ubatan yang tidak berdaftar itu dibeli secara dalam talian dan peningkatan pesakit buah pinggang juga disebabkan oleh amalan gaya hidup tidak sihat.
“Pesakit yang menjalani dialisis kebanyakannya turut mengalami masalah kesihatan lain seperti kencing manis, obesiti dan darah tinggi yang menyumbang kepada komplikasi buah pinggang.

“Pengambilan makanan kesihatan atau ubat-ubatan tidak berdaftar yang dibeli secara dalam talian juga menjurus kepada masalah buah pinggang,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan sambutan Hari Buah Pinggang Sedunia 2026 di Neo Medicare, Kubang Kerian di sini hari ini.

Dr. Rohana memberitahu, rawatan dialisis secara percuma disediakan di hospital kerajaan, namun jumlah mesin ketika ini tidak mampu untuk menampung kapasiti pesakit pada satu-satu masa.

“Rawatan dialisis percuma itu pula disediakan kepada golongan B40 sahaja, manakala pesakit yang berkemampuan akan ke pusat dialisis berbayar dengan kadar bayaran antara RM100 hingga RM250 untuk satu sesi,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN