fbpx
NURFATIN NAJWA dipenjara 9 tahun oleh Mahkamah Sesyen Batu Pahat hari ini atas tujuh pertuduhan pecah amanah berjumlah RM32,102.60.

‘Saya ambil wang kerana nak bayar hutang rakan, 10 along’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BATU PAHAT – Seorang pekerja kedai serbaneka dijatuhkan hukuman penjara selama sembilan tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku salah melakukan tujuh pertuduhan pecah amanah berjumlah RM32,102.60.

Hakim Osman Affendi Mohd Shalleh membuat keputusan itu terhadap tertuduh Nurfatin Najwa Ahmad Bzli, 23, pada prosiding keputusan hukuman yang dijalankan hari ini.

Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara setahun bagi setiap pertuduhan pertama, kedua, keempat dan kelima, dua tahun bagi pertuduhan ketiga, manakala pertuduhan keenam dan ketujuh masing-masing 18 bulan.

Kesemua hukuman terbabit dijalankan secara berurutan bermula dari tarikh ditangkap pada 28 Mac lalu.

Osman Affendi berkata, mahkamah perlu mengambil kira kesalahan dilakukan tertuduh sebelum menjatuhkan hukuman terhadapnya.

“Kenapa kamu pinjam denga along? Kamu masih muda untuk menjalani hukuman ini dan perjalanan hidup kamu masih jauh. Kamu banyak menolong ibu bapa tapi dengan apa yang berlaku, ia cukup menyedihkan,” katanya.

Mengikut kesemua pertuduhan, tertuduh yang belum berkahwin didakwa melakukan pecah amanah berupa wang tunai hasil jualan perniagaan harian berjumlah RM32,102.60 milik kedai serbaneka.

Perbuatan itu dilakukan di sebuah kedai serbaneka Taman Soga, di sini antara 21 hingga 27 Mac lalu dengan Seksyen 408 Kanun Keseksaan memperuntukkan penjara sehingga 14 tahun dan denda dan juga sebatan jika sabit kesalahan.

Menurut fakta kes, pengadu yang juga pengurus kedai serbaneka membuat laporan selepas mendapati tertuduh tidak slip bank berkaitan jualan dalam kumpulan WhatsApp syarikat.

Pemeriksaan mendapati terdapat kekurangan ketara wang hasil perniagaan yang sepatutnnya didepositkan ke dalam bank bagi tempoh 19 hingga 27 Mac 2026.

Semasa disiasat tertuduh mengakui menggunakan wang terbabit untuk kegunaan peribadi termasuk membayar hutang along.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Sharifah Natasha Syed Ahmad manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Razak Shariff.

Terdahulu pihak pendakwaan dalam hujahannya berkata, kesalahan ini serius dan tertuduh menyalahgunakan kepercayaan diberikan untuk mengendalikan wang hasil jualan.

“Tertuduh mengambil kesempatan atas keadaan itu, untuk menyeleweng duit syarikat dengan cara memasukkan jumlah wang kurang daripada jualan sebenar. Malah, tertuduh juga menyunting dokumen senarai jualan harian bagi mengaburi mata syarikat,” katanya.

Dalam pada itu tertuduh ketika ditanya kenapa mengambil wang terbabit berkata, dia terpaksa kerana perlu membayar hutang 10 along.

“Saya pinjam dengan along kerana nak bayar hutang rakan. Dia (rakan) tak mahu bayar ansurans jadi saya tiada pilihan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN