fbpx
Keadaan van dan kereta Volkwagen Golf GTI yang terlibat dalam nahas di Jalan Losong Feri berhampiran Kampung Losong Panglima Perang, Kuala Terengganu hari ini.

Remaja lelaki maut, tiang lampu jalan tembus kepala

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA TERENGGANU – Seorang remaja lelaki berusia 18 tahun maut selepas van dipandu bapanya terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kereta jenis Volkswagen Golf GTI di Jalan Losong Feri berhampiran Kampung Losong Panglima Perang di sini hari ini.

Dalam kemalangan pada pukul 3.36 petang itu, mangsa, Wah Han Keong, 18, meninggal dunia selepas sebatang tiang lampu jalan yang tumbang akibat rempuhan nahas terbabit mengenai kepalanya.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, sewaktu kejadian, Han Keong dikatakan mengikut bapanya, Wah Tee Tun, 49, untuk melakukan kerja-kerja pemasangan dan penyelenggaraan penyaman udara di pusat bandar raya ini dari rumah mereka di Manir di sini.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, van jenis Nissan Vanette dinaiki mereka tidak dapat mengelak lalu merempuh sebuah kereta Volkswagen Golf GTI yang dikatakan terbabas memasuki laluan bertentangan.

“Sebatang tiang lampu yang tumbang dipercayai akibat dirempuh kereta Volkswagen Golf GTI tersebut telah menembus masuk ke dalam cermin hadapan van lalu mengenai kepala mangsa,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.

Azli berkata, mayat Han Keong telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini untuk tindakan lanjut.

Beliau berkata, bapa mangsa, Tee Tun dan seorang budak lelaki berusia lapan tahun dipercayai anak pemandu kereta Volkswagen Golf GTI pula cedera ringan.

“Kes sedang disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN