PETALING JAYA – Cadangan peminat supaya watak Susanti dalam animasi popular Upin & Ipin digantikan dengan karakter dari Sabah dan Sarawak mencetuskan perdebatan hangat di media sosial.
Perkara itu timbul selepas Les’ Copaque Production memuat naik hantaran di Threads yang menegaskan animasi Upin & Ipin adalah hak cipta sepenuhnya syarikat berkenaan dan buatan tempatan.
“Animasi Upin & Ipin adalah sepenuhnya hak cipta dan karya Les’ Copaque Production,” katanya.
Menjengah ke ruangan komen, beberapa netizen mencadangkan agar watak Susanti dikeluarkan dan diganti dengan karakter dari Sabah dan Sarawak bagi mengetengahkan budaya tempatan.
Seorang pengguna, @Pettyandproudme berkata, watak dari Borneo lebih wajar diperkenalkan dalam siri berkenaan.
“Watak Susanti boleh ditamatkan dengan jalan cerita dia pulang ke Indonesia sebelum digantikan dengan karakter baharu dari Sabah atau Sarawak,” ujarnya.
Pengguna lain berkata siri animasi itu sepatutnya memberi lebih ruang kepada karakter tempatan berbanding watak dari negara jiran.
“Kami mahukan karakter dari Sabah dan Sarawak, bukannya dari Indonesia,” kata @Danisyazwanz.
Terdahulu, kenyataan penafian itu dibuat susulan penyebaran sebuah video di media sosial yang mendakwa kononnya Upin & Ipin berasal dari Indonesia sehingga mencetuskan perdebatan dalam kalangan pengguna di rantau ini.
Menerusi video berkenaan, individu terbabit mendakwa pada tahun 2008 sekumpulan animator muda dari Jakarta dan Bandung telah menghasilkan sebuah karya animasi dikenali sebagai ‘Si Arifin’.
Bagaimanapun, dakwaan berkenaan tidak disertakan sebarang bukti sahih dan bertentangan dengan rekod industri yang menunjukkan Upin & Ipin merupakan karya asal Malaysia yang dibangunkan sepenuhnya oleh Les’ Copaque Production. – KOSMO! ONLINE














