PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir susulan jangkaan hujan lebat dan ribut petir membabitkan negeri Johor dan Sabah hingga 5 petang ini.
MetMalaysia dalam kenyataan berkata, kawasan yang terlibat di Semenanjung adalah Johor yang melibatkan Mersing, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru.
“Hujan lebat turut diramal berlaku di Perak (Kerian, Larut, Matang Dan Selama dan Manjung) serta Pahang (Rompin),” lapor MetMalaysia.
Sementara itu di Sabah, cuaca buruk dijangka berlaku di Pedalaman (Beaufort dan Tambunan), Pantai Barat, Tawau, Sandakan (Telupid, Kinabatangan, Beluran dan Sandakan) dan Kudat (Kota Marudu dan Pitas).
MetMalaysia memaklumkan, amaran hujan lebat dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter sejam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.
Jelasnya, amaran tersebut adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran. – KOSMO! ONLINE














