PETALING JAYA – Perkongsian menyentuh hati seorang guru mengenai anak muridnya dari pedalaman Sarawak yang bakal bergelar pendidik mengundang sebak dalam kalangan pengguna media sosial sempena sambutan Hari Guru baru-baru ini.
Menerusi hantaran di Threads oleh pengguna dikenali sebagai Aiman Fadhil, dia berkongsi kisah seorang murid perempuan bernama Claudia yang mula diajar ketika kanak-kanak itu berada di darjah empat pada tahun 2013 sewaktu dia bertugas di kawasan pedalaman Sarawak.
Menurutnya, Claudia merupakan seorang murid yang sangat rajin, ringan tulang dan berdikari sejak kecil kerana sudah tinggal di asrama seawal darjah satu.
“Ini Claudia, saya mula mengajar dia masa darjah empat pada tahun 2013 masa posting di pedalaman Sarawak dulu. Muridnya sangat bijak, rajin dan ringan tulang. Kalau nak senaraikan apa dia tolong saya, terlalu banyak.
“Boleh kata dia pakej lengkap untuk jadi murid harapan sekolah (memang murid harapan) cuma masa ni saya pun tak nampak ke mana minat dia (dia pun tak tau nak jadi apa dah besar masa tu),” ujarnya.
Bagaimanapun, masa mengubah segalanya apabila pertemuan terakhir mereka pada tahun 2024 membawa khabar yang cukup membanggakan buat seorang guru.
“Kali terakhir jumpa dia tahun 2024. Masa tu dia wakil atlet IPG Kampus Miri. Alhamdulillah, tahun ini dia akan graduasi dan akan ‘posting’ sebagai seorang guru,” katanya.
Lebih menyentuh hati, Aiman berkata anak murid yang suatu ketika dahulu mengucapkan Selamat Hari Guru kepadanya kini bakal menerima ucapan sama sebagai seorang pendidik.
“Tahniah Claudia, kamu sentiasa buat cikgu bangga. Dulu kamu ucap saya Selamat Hari Guru, sekarang saya akan ucap kamu Selamat Hari Guru,” katanya.
Dalam masa sama, Claudia turut meninggalkan komen pada hantaran tersebut yang membuatkan ramai pengguna media sosial tersentuh.
“Hi saya Claudia yang dalam gambar ni. Selamat Hari Guru Cikgu Aiman, nanti konvo datang tau,” tulisnya berserta emoji ketawa.
Perkongsian itu meraih perhatian ramai dengan rata-rata netizen meluahkan rasa sebak melihat hubungan guru dan murid yang kekal erat walaupun sudah bertahun-tahun berlalu, selain menyifatkan kejayaan Claudia sebagai bukti pendidikan mampu mengubah kehidupan seseorang.
“Cikgu muat naik tentang anak murid yang bakal jadi cikgu dan ucap selamat hari guru. Dia tak tahu yang sebahagiannya datang dari semangat dan keikhlasan beliau mendidik. Terbaik, Cikgu Aiman. Selamat hari guru kepada semua guru di Malaysia,” komen Dewi.
“Tahniah Cikgu Aiman, anda hebat, murid anda pun hebat. Hasil didikan para pendidik,” komen Radhi pula. – KOSMO! ONLINE













