fbpx
Tangkap layar video tular memaparkan beberapa individu dalam keadaan khayal dipercayai akibat pengambilan cecair vape yang disyaki mengandungi dadah. IHSAN MEDIA SOSIAL

Tular khayal: 11 ditahan, RM4.6 juta cecair vape dirampas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Seramai 11 individu ditahan manakala RM4.6 juta cecair vape disyaki mengandungi dadah serta pelbagai bahan berkaitan dirampas di seluruh negara baru-baru ini.

Tindakan menerusi Op Vape 1.0 itu dilaksanakan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dengan kerjasama pelbagai agensi penguatkuasaan.

Pengarah JSJN, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihaknya memandang serius penularan video di media sosial memaparkan individu menghisap vape secara keterlaluan serta melakukan aksi memalukan sehingga mencetuskan kebimbangan masyarakat.

Menurutnya, tiga lelaki tempatan termasuk dua individu dalam video tular serta seorang pembekal vape disyaki mengandungi dadah berjaya ditahan di Selangor.

“Serbuan turut membawa kepada rampasan satu botol cecair vape disyaki ketamin.

“Tiga lagi lelaki termasuk dua individu yang membuat siaran langsung sambil menghisap vape turut ditahan di Johor Bahru bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, hasil soal siasat mendapati suspek mengaku membuat siaran langsung menerusi aplikasi Threads hanya untuk mendapatkan hadiah daripada penonton.

Dalam pada itu, Hussein berkata, operasi bermula dari 13 hingga 17 April lalu itu turut menjalankan pemeriksaan ke atas 1,670 premis jualan vape.

“Sebanyak 19.67 kilogram cecair vape disyaki mengandungi dadah jenis Furanyl Fentanyl serta 186.54 kilogram cecair vape yang tidak mengandungi dadah telah dirampas dengan keseluruhan rampasan dianggarkan RM4.6 juta.

“Dua lelaki tempatan, seorang lelaki warga China dan dua wanita tempatan telah ditahan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Hussein menambah, JSJN akan terus mempergiatkan risikan, pemantauan dan operasi bersepadu bagi membanteras aktiviti pengedaran vape mengandungi bahan terlarang. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN