BATU PAHAT – Seorang remaja mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Yong Peng di sini hari ini atas pertuduhan merogol pelajar yang juga bekas teman wanitanya di rumahnya dalam daerah ini bulan lalu.
Tertuduh berusia 17 tahun yang sudah tidak bersekolah, membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan di hadapan Majistret Arun Noval Dass.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa merogol pelajar terbabit berusia 15 tahun di sebuah rumah di sini pada pukul 3 petang, Mei tahun lalu.
Seksyen 367 (1) memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan namun bagi pesalah juvana boleh dikenakan bon jaminan kelakuan baik, khidmat masyarakat ataupun menjalani hukuman di Sekolah Henry Gurney.
Berdasarkan laporan dibuat, polis menerima laporan daripada seorang doktor selepas mangsa menceritakan kejadian itu kepadanya.
Hasil siasatan polis mendapati, kejadian berlaku ketika mangsa datang ke rumah tertuduh dengan menaiki p-hailing.
Sebaik tiba di rumah, tertuduh mengajak mangsa melakukan perbuatan itu.
Mangsa tidak menceritakan kejadian itu kepada sesiapapun sebaliknya hanya terbongkar selepas memberitahu kepada seorang pasukan perubatan ketika menjalani rawatan psikiatrik.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Firdaus Ruslan, manakala tertuduh diwakili peguam, Tan Song Yan.
Mahkamah kemudian menetapkan 1 Julai ini bagi sebutan laporan akhlak daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), fakta dan perintah serta ikat jamin sebanyak RM1,000 dengan seorang penjamin. – KOSMO! ONLINE














