JOHOR BAHRU – Seramai 35 pendatang asing tanpa izin (PATI) diberkas Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor atas pelbagai kesalahan selepas menggempur beberapa premis perniagaan sekitar Senai, Kulai dekat sini semalam.
Ops Selera, Ops Kutip, Ops Belanja dan Ops Sapu itu dilakukan pukul 2 petang atas maklumat awam dan risikan melibatkan Bahagian Penguatkuasa Negeri Johor dengan bantuan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS).
Pengarahnya, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus berkata, operasi itu yang dijalankan serentak ke atas beberapa premis perniagaan berjaya menahan PATI berkenaan.
“Operasi menyasarkan sektor-sektor perniagaan seperti kedai runcit, kedai menjual permaidani, premis perniagaan dan makanan yang dikenal pasti menggaji atau menjadi tempat berkumpul warga asing tanpa dokumen sah.
“Pemeriksaan awal mendapati, seramai 35 warga asing ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Jelasnya, mereka yang ditahan dipercayai bekerja dan merupakan pelanggan di premis terbabit iaitu tujuh lelaki dewasa warganegara Indonesia, enam lelaki dewasa Myanmar, empat lelaki dewasa Pakistan, lima lelaki dewasa Bangladesh dan dua lelaki dewasa Nepal.
Beliau berkata, ini termasuk tujuh wanita, dewasa Indonesia dan empat wanita dewasa Myanmar, semuanya berusia lingkungan 19 tahun hingga 52 tahun.
Tambah beliau, semua yang ditahan dsyaki melakukan kesalahan dibawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
Kesemua tahanan ditempatkan di Depot Imigresen Setia Tropika di sini untuk siasatan dan tindakan lanjut.
Selain itu katanya, sebanyak sembilan keping borang 29 iaitu saman kepada saksi tdikeluarkan sepanjang pemeriksaan untuk membantu siasatan. – KOSMO! ONLINE














