PETALING JAYA – Setiap ibu mempunyai cara tersendiri dalam mendidik anak-anak mengenai nilai murni terutamanya dalam bersedekah.
Menerusi hantaran di Threads oleh Fatimeazuni, dia berkongsi sekeping gambar sampul yang padat dengan wang kertas RM1 yang diberikan ibunya untuk dihulurkan kepada peminta sedekah.
“Ibu saya suka bersedekah. Dia bagi satu sampul suruh saya bawa ke mana-mana sahaja. Kalau jumpa orang minta sedekah jangan lupa bagi dan minta mereka niatkan yang baik-baik untuk cucu umi,” katanya.
Menurut wanita itu, dia berasa sebak ketika menyampaikan amanah tersebut kerana membawa doa seorang ibu.
“Setiap kali saya hulur kepada orang, setiap kali (perasaan) rasa sebak kerana bukan setakat sedekah, tapi membawa doa seorang ibu yang tidak pernah putus-putus,” katanya.
Rata-rata pengguna turut memuji didikan ibu gadis tersebut selain ada yang berkongsi cara mereka berkongsi rezeki.
“Sama perangai dengan arwah mak. Duit RM1 banyak dan sentiasa pastikan ada dalam beg untuk sedekah di pasar malam atau pasar pagi,” kata Norazliza.Ariffin.
“Saya pula suka bawa gula-gula. Kalau terjumpa budak-budak menangis, saya sedekahkan untuk mereka. Paling seronok buat (sedekah) semasa berbuka puasa di masjid,” kongsi Iaza1413 pula. – KOSMO! ONLINE














