PENGENDALI skuad Harimau Malaya, Peter Cklamovski percaya masih ada sinar buat pasukan itu walaupun tewas 1-3 kepada Vietnam dalam aksi ‘tebus maruah’ kempen kelayakan Piala Asia 2027, kelmarin.
Keputusan mengecewakan pada aksi terakhir Kumpulan F di Stadium Thien Truong, Nam Dinh itu menyaksikan pasukan negara gagal mencapai misi ‘revolusi’ yang ditetapkan untuk layak ke pentas Piala Asia buat kali kedua berturut-turut.
Menurut Cklamovski, anak-anak buahnya mungkin boleh membawa pulang mata berharga jika memanfaatkan rentetan peluang terhidang yang dicipta ketika berdepan tuan rumah.
Bagaimanapun, nasib tidak memihak kepada pasukan negara dan pengendali kelahiran Australia itu menyalahkan mana-mana pemain, sebaliknya menegaskan tetap bangga dengan mentaliti dan semangat juang pasukan.
“Kami mempunyai empat atau lima peluang yang baik untuk menjaringkan gol dan inilah perkara yang mengubah perlawanan bola sepak. Jika kami mengambil peluang di depan gol, ia akan menjadi perlawanan yang berbeza.
“Kita datang ke sini sebagai pasukan pelawat dan mempamerkan aksi dan mencipta peluang seperti itu membuatkan saya tambah bangga dengan pemain.
“Mentaliti mereka sangat luar biasa kerana semua tahu apa yang berlaku sejak enam bulan lalu. Jadi, fokus dan semangat yang ditunjukkan pemain benar-benar memberi inspirasi kepada saya,” katanya.
Mengulas lanjut, Cklamovski mengakui terkilan apabila impian beraksi di pentas Piala Asia 2027 tidak menjadi kenyataan walaupun beraksi dengan baik sepanjang kempen kelayakan.
“Dari segi merit di atas padang, anda tahu kami layak untuk mara. Namun, di luar padang (isu pemalsuan dokumen), apa yang berlaku mengecewakan kami (selepas gagal layak),” katanya.
Skuad negara ‘menutup buku’ saingan di tangga kedua kumpulan dengan sembilan mata, apabila merekodkan tiga kemenangan dan tiga kekalahan termasuk enam mata yang dipotong Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) selepas membatalkan kemenangan ke atas Vietnam dan Nepal tahun lalu.














