fbpx
Kisah Noor Adrina dan arwah suaminya pernah tular sebelum ini setelah lelaki itu dapat bertukar ke balai berdekatan rumah mereka.

‘Ramadan lalu sebumbung lepas 7 tahun berjauhan, tapi semalam dia sudah tiada’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – “Saya tak sempat salam tangan dia sebenarnya. Tak sempat nak cakap hati-hati.”

Itu luahan Noor Adrina, isteri kepada seorang anggota polis, Koperal Muhammad Ainolalif Md Said yang terlibat dalam kemalangan maut semalam di Seri Medan, Batu Pahat.

Menurut Noor Adrina, suaminya yang telah berkhidmat hampir 11 tahun dalam pasukan polis itu, sebelum ini membuat kejutan dengan meninggalkan nota menyatakan bahawa beliau dipindahkan dari Ibu Pejabat Polis (IPD) Jasin ke Balai Polis Parit Sulong, iaitu berdekatan dengan rumah mereka.

Kisah pasangan itu sebelum ini pernah tular dan menjadi perbualan ramai apabila penantian perhubungan jarak jauh selama tujuh tahun berakhir setelah mereka dapat tinggal bersama bermula Ramadan lalu.

Bercerita lanjut mengenai kejadian yang menimpa arwah suaminya, Noor Adrina berkata, ketika dalam perjalanan ke tempat kerja, dia menerima panggilan daripada pihak polis.

“Saya dah hantar anak saya pergi sekolah, jadinya saya berhenti nak beli makanan. Betul-betul saya parkir ada orang call (hubungi). Saya ingat ‘scammer’ tau. Anggota polis jugalah dia cakap, ‘Puan, Puan isteri kepada Ainolalif ke?’ Ha, iya saya’,” katanya menerusi satu panggilan khas oleh sebuah stesen radio, hari ini.

Noor Adrina menambah, dia kemudian dimaklumkan bahawa suaminya telah terlibat dalam kemalangan maut di Sri Medan.

“Masa tu saya macam terkejut tapi saya tak menangis. Lepas tu saya letak panggilan. Saya ada pasang Find My (aplikasi) dekat phone (telefon), saya buka Find My dan betul (lokasi akhir suami) di Seri Medan. Saya hubungi balik (polis tadi),” ujarnya.

Menurut Noor Adrina, detik terakhir dia bersama suami adalah pagi semalam ketika lelaki itu hendak ke kerja.

“Pagi baru jumpa, saya tak salam. Saya tak sempat salam tangan dia sebenarnya. Tak sempat nak cakap hati-hati dekat dia. Pergi jalan keluar bilik air tu pun memang kami tak berpandang mata,” luahnya.

Menjengah di ruangan komen, ramai yang mendoakan agar Noor Adrina dan anak-anak kuat meneruskan kehidupan.

“Sedihnya, semoga Allah beri sabar dan kekuatan buat Puan Adrina menghadapi ujian ini,” kata @enchantedfloristmy.

“Sedihnya, baru sahaja haritu (bulan lepas) tengok viral suami dia dapat tukar. Tak sangka,” komen Farahsafn. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN