KLANG – Isteri kepada penunggang motosikal yang maut dalam kemalangan membabitkan pemandu mabuk dan khayal meluahkan rasa lega selepas suspek didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini.
Nurul Nadia Abdul Majid, 32, berkata, dia bersyukur apabila lelaki berkenaan akhirnya dihadapkan ke mahkamah atas pertuduhan membunuh suaminya.
“Pertama sekali, syukur Alhamdulillah. Terima kasih ya Allah atas pertuduhan ini.
“Saya rasa sedikit lega hari ini. Satu sahaja saya nak cakap, nyawa dibalas nyawa. Itu sahaja,” katanya pada sidang akhbar di lobi pekarangan Mahkamah Klang.
Menurutnya, dia juga berasa amat bersyukur dan berpuas hati dengan perkembangan kes tersebut yang sedikit sebanyak mengurangkan beban yang ditanggungnya sejak kejadian itu.
“Saya sangat bersyukur dan berpuas hati hari ini. Rasa diri ini lega sedikit. Alhamdulillah, syukur,” katanya.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan seorang pembantu makmal yang memandu dalam keadaan mabuk dan khayal sehingga menyebabkan kematian seorang penunggang motosikal, Ahad lalu, didakwa atas pertuduhan membunuh di Mahkamah Majistret di sini, hari ini.
Tertuduh, R. Saktygaanapathy, 28, hanya mengangguk faham sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret A. Khartiyayini.
Dalam prosiding sama, lelaki itu turut mengaku bersalah kerana memasukkan dadah jenis benzodiazepine dan tetrahydrocannabinol (THC) ke dalam badannya di Pejabat Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan kira-kira pukul 3.30 petang pada hari sama.
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda tidak melebihi RM5,000 serta perintah pengawasan tidak kurang dua tahun dan tidak lebih tiga tahun, jika sabit kesalahan. – KOSMO! ONLINE














