KUALA LUMPUR – Polis mengesahkan setakat ini tiada sebarang permohonan atau pemakluman diterima berhubung penganjuran himpunan oleh Sekretariat Tangkap Azam Baki yang dijadualkan berlangsung di Dataran Merdeka, pada 25 April depan.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sazalee Adam berkata, pihaknya menasihatkan orang ramai supaya mematuhi undang-undang serta tidak menyalahgunakan platform berhimpun hingga menjejaskan ketenteraman awam.
“Orang ramai dinasihatkan agar tidak terlibat dalam sebarang aktiviti yang boleh mengganggu keamanan atau mengancam keselamatan awam,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Terdahulu, media melaporkan Sekretariat Tangkap Azam Baki merancang untuk mengadakan satu lagi siri demonstrasi jalanan di Dataran Merdeka bagi mendesak siasatan menyeluruh berhubung dakwaan kewujudan ‘mafia korporat’ dalam agensi penguatkuasaan.
Wakil sekretariat, Kelvin Lee See Kiang dilaporkan berkata, himpunan itu diadakan susulan dakwaan kegagalan kerajaan mengambil tindakan terhadap isu integriti melibatkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.
Sebelum ini, Bloomberg News melaporkan Azam memegang 17.7 juta saham dalam Velocity Capital Bhd, atau 1.7 peratus, berdasarkan penyata tahunan syarikat difailkan pada 3 Feb tahun lalu.
Azam didakwa melanggar pekeliling kerajaan 2024 yang mengehadkan pegangan saham penjawat awam dalam syarikat diperbadankan di Malaysia kepada tidak lebih 5 peratus modal berbayar atau bernilai RM100,000, mana-mana lebih rendah.
Bagaimanapun jelasnya, beliau sudah mengisytiharkan urus niaga tersebut dan saham berkenaan telah dilupuskan tahun lalu.
Peguamnya telah menghantar surat tuntutan kepada Bloomberg berhubung laporan tersebut. – KOSMO! ONLINE














