PETALING JAYA – “Mak arwah sangat kuat…cikgu dan kawan-kawan arwah tahan nangis ja tadi.”
Demikian luahan seorang guru Matematik dikenali sebagai @cikgu_zie di Instagram semalam yang menceritakan detik pilu apabila ibu kepada seorang pelajarnya yang telah meninggal dunia hadir mengambil keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) anaknya.
Menurut guru tersebut, pelajar dikenali sebagai Fithri itu tidak sempat menyaksikan sendiri keputusan peperiksaan yang didudukinya, namun tetap berjaya memperoleh keputusan cemerlang.
“31 Mac hari yang sangat berdebar untuk semua calon SPM 2025, termasuk cikgu-cikgu.
“Arwah tak sempat nak tengok result (keputusan) dia. Hari ini mak arwah datang ambil result (keputusan) arwah, keputusan yang sangat tidak dijangka. Matematik A-, memang cikgu target (sasar) dia A. Alhamdulillah,” katanya dalam hantaran tersebut.
Difahamkan Allahyarham Fithri meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya.
Hantaran tersebut mendapat perhatian ramai pengguna media sosial yang turut tersentuh dengan kisah berkenaan, selain menzahirkan ucapan takziah dan doa buat Allahyarham.
“Sebak baca… tahniah buat arwah, semoga ditempatkan dalam kalangan orang beriman,” tulis @Amirul.
“Mak dia memang kuat. Bukan semua mampu lalui situasi macam ini,” komen seorang lagi.
“Anak yang baik, pelajar yang baik. Semoga syurga untuk arwah,” kata @Ummi1804. – KOSMO! ONLINE














