fbpx
Antara hantaran dimuat naik calon SPM di media sosial. - GAMBAR HIASAN

‘Ke mana je saya boleh pergi?’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – “Tumpang tanya, ke mana je saya boleh pergi….?”

Itu antara luahan ringkas daripada seorang pengguna Facebook dikenali sebagai Nad Nizam, yang mencerminkan kegusaran ribuan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) selepas keputusan diumumkan semalam.

Tinjauan di media sosial mendapati, ramai pelajar dan ibu bapa kini aktif mendapatkan pandangan orang ramai mengenai hala tuju pendidikan seterusnya, termasuk pemilihan kursus dan institusi pengajian tinggi yang bersesuaian dengan keputusan diperoleh.

Seorang lagi pengguna, @MakAnak004, mengakui berdepan dilema apabila keputusan anaknya tidak seperti diharapkan.

“Anak dah pening dan mak lagi pening. Agak frust (kecewa) dengan keputusan ini tapi kita reda.

“Nak tanya pendapat ramai, perlu ke ambil semula SPM untuk subjek Bahasa Inggeris? Kursus apa sesuai dan di mana? Anak dari jurusan Kejuruteraan Elektrik Elektronik di SMT (sekolah menengah teknik),” katanya.

Turut senada, seorang pengguna lain meminta pandangan mengenai pengisian permohonan ke institusi pengajian tinggi.

“Dah mohon matrikulasi, tapi tak tahu nak isi UPU. Harap ada yang boleh cadangkan pilihan berdasarkan result (keputusan) anak saya ini,” ujarnya.

Dalam pada itu, seorang ibu yang menggunakan nama @Ibu Harat turut meluahkan kebimbangan mengenai peluang anaknya melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan.

“Anak saya punya keputusan SPM, boleh ke masuk medic (kos perubatan). Laluan mana yang sesuai? Ini kali pertama saya, harap dapat bantu,” katanya.

Perkongsian tersebut menerima pelbagai reaksi dan nasihat daripada orang ramai yang cuba membantu meringankan kekeliruan dihadapi calon serta ibu bapa.

Antara cadangan diberikan termasuk mempertimbangkan laluan alternatif seperti diploma di politeknik atau kolej komuniti sebelum menyambung ke peringkat ijazah.

“Jangan risau sangat, banyak lagi jalan. Boleh ambil diploma dulu, kemudian sambung degree. Yang penting minat dan usaha,” kata seorang pengguna.

Selain itu, ada juga yang menasihatkan agar pelajar tidak terburu-buru mengulang peperiksaan SPM, sebaliknya menilai keperluan berdasarkan syarat kemasukan kursus diminati.

“Kalau English (Bahasa Inggeris) tak capai syarat, baru pertimbangkan retake (ambil semula). Kalau tidak, fokus pada kursus yang sesuai dengan keputusan sedia ada,” ujar Azrie.

Bagi bidang perubatan pula, orang ramai menjelaskan bahawa laluan ke kursus tersebut agak kompetitif dan memerlukan keputusan cemerlang, namun masih terdapat pilihan lain dalam bidang kesihatan.

“Kalau tak lepas kos medic (perubatan), boleh cuba farmasi, sains kesihatan atau kejururawatan. Semua itu juga bidang yang baik,” jelas Fazz99.

“Result bukan penentu segalanya. Yang penting usaha selepas ini. Rezeki masing-masing,” komen Hajar. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN