fbpx
Asyraf Wajdi.

19 MRSM catat GPM bawah 2.0, 80 pelajar peroleh semua A+

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Sebanyak 19 Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) mencatatkan Gred Purata Maktab (GPM) bawah 2.0 dalam keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025, sekali gus mencerminkan prestasi keseluruhan yang memberangsangkan.

Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pencapaian itu turut disokong kejayaan 80 pelajar yang memperoleh semua A+ dalam semua subjek, meningkat berbanding 69 pelajar tahun lalu.

Menurutnya, lima MRSM terbaik berdasarkan GPM ialah MRSM Tun Ghafar Baba (1.139), MRSM Gemencheh (1.195), MRSM Taiping (1.224), MRSM Pengkalan Chepa (1.254) dan MRSM Kuala Kubu Bharu (1.284).

“Pencapaian keseluruhan MRSM seluruh Malaysia juga amat membanggakan. Saya ingin mengambil kesempatan di sini mengucapkan terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua guru-guru, para pentadbir MRSM, pengurusan tertinggi Mara.

“(Turut berterima kasih kepada) Bahagian Pendidikan Menengah atas segala komitmen, iltizam, kerja kuat berpasukan yang berterusan dengan satu matlamat hanya untuk membangunkan anak bangsa,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan sebanyak 11 MRSM turut mencatatkan peningkatan pencapaian dengan MRSM ATM Bera merekodkan lonjakan Gred Purata tertinggi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, pencapaian mengikut subjek turut menunjukkan prestasi cemerlang, khususnya Matematik apabila 10 MRSM mencatatkan 100 peratus A, manakala 21 MRSM merekodkan keputusan sama bagi subjek Pendidikan Islam.

Katanya, beberapa subjek lain termasuk Pendidikan Moral, Pengajian Kejuruteraan Mekanikal, Elektrikal dan Elektronik, Bahasa Arab, Seni Visual serta Reka Cipta turut mencatat peningkatan Gred Purata subjek.

“Bagi subjek Sains, sebanyak 42.5 peratus calon memperoleh A dalam Fizik, manakala 40.5 peratus dalam Biologi dan 37.7 peratus dalam Kimia,” ujarnya.

Beliau berkata, secara keseluruhan seramai 7,636 calon daripada 57 MRSM mencatatkan Gred Purata Keseluruhan 2.067 dengan 100 peratus layak menerima sijil.

Menurutnya, pencapaian turut membanggakan bagi MRSM baharu seperti MRSM Ranau, Sabah dan MRSM Bintulu, Sarawak yang pertama kali menduduki peperiksaan SPM.

“Ini membuktikan MRSM terus kekal sebagai institusi pendidikan yang mampu melahirkan pelajar cemerlang dan berdaya saing,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN