fbpx
AL HYFZUL (kanan) bersama Rayyan Harith berjaya meraih tiga kejuaraan pada SSYS 2026 yang berlangsung di Pulau Pinang baru-baru ini.

Kejayaan besar KYSM di peringkat ASEAN

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SAAT nama Rayyan Harith Ahmad Rozley dan Al Hyfzul Imran Azaiddin diumumkan sebagai pemenang tiga anugerah daripada tujuh kategori utama pada Kongres Serantau ke-14 – Pencarian Saintis Muda SEAMEO (SSYS) 2026, Dewan Regional Centre for Education in Science and Mathematics, Pulau Pinang bergema dengan sorakan.

Kemenangan besar tersebut bermakna segala usaha dan kerja keras, latihan intensif dan perjalanan panjang yang dilalui oleh dua pelajar tingkatan empat di Kolej Yayasan Saad Melaka (KYSM) itu terbayar akhirnya.

Kejayaan berkenaan turut mengangkat nama Rayyan Harith dan Al Hyfzul sebagai antara peserta paling menonjol pada pertandingan berprestij itu.

Untuk makluman, pertandingan SSYS menghimpunkan pelajar terbaik dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dari negara-negara di rantau Asia Tenggara.

Tujuh kategori utama yang dipertandingkan ialah Sains Alam Sekitar, Sains Hayat, Sains Fizikal, Matematik dan Sains Komputer, Projek Inovasi/Reka Cipta, Kajian Sains Sosial/Tingkah Laku serta Sains Kesihatan dan Pemakanan.

Pada SSYS 2026, KYSM telah mencatat kejayaan cemerlang dengan muncul sebagai juara dalam tiga daripada tujuh kategori utama yang dipertandingkan, sekali gus muncul juara keseluruhan.

Anugerah yang dimenangi adalah Anugerah Emas (Special Award for Creativity/Innovation, Special Award for Commercial Potential, Outstanding Award for Presentation),

Anugerah Perak (Special Award for Benefit(s) to Community, Special Award for Project Report, Application of STEM Concepts) dan Anugerah Gangsa (Outstanding Award for Project Exhibit).

Berkongsi dengan K-Remaja, Rayyan Harith berkata, saat pasukan mereka diumumkan sebagai juara, perasaannya bercampur-baur.

“Rasa gembira, lega dan puas hati apabila penat lelah kami menyiapkan projek ini dalam masa singkat, akhirnya terbalas,” katanya.

Mengulas mengenai inovasi yang dihasilkan kumpulannya, dia memaklumkan, projek tersebut dikenali sebagai SihatBOT.

Katanya, ia merupakan satu aplikasi yang dibangunkan dengan menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi menentukan sama ada individu cedera perlu mendapatkan rawatan di hospital, klinik atau boleh dirawat sendiri di rumah.

Bagi Al Hyfzul pula, pertandingan itu banyak menguji pemikiran kritikal mereka, khususnya sewaktu sesi soal jawab.

“Ini kerana sewaktu sesi itu berlangsung, apa yang kita cakap dan jawab boleh menentukan sama ada kita menang atau kalah,” jelasnya.

Kejayaan itu tidak datang tanpa cabaran. Menurut Rayyan Harith, cabaran utama baginya adalah ketika dia mula hilang motivasi.

“Namun, saya bernasib baik apabila keluarga, rakan-rakan dan guru-guru penasihat sentiasa memberikan semangat supaya kami boleh menyiapkan projek ini dalam tempoh satu minggu,” katanya yang menanam impian bergelar Perdana Menteri atau ahli falsafah kelak.

Sementara itu, Al Hyfzul memaklumkan, cabaran terbesar yang perlu ditempuhinya adalah melibatkan persediaan projek kerana mereka terpaksa uruskan banyak perkara seperti menghasilkan slides, poster, selain memikul tugas sebagai pengurus projek.

“Apa yang saya buat, urus masa sebaiknya, teruskan usaha, berdoa dan bertawakal kepada Allah SWT.

“Selain itu, sokongan daripada ibu bapa, rakan-rakan dan guru penasihat kelab komputer juga banyak membantu kami,” katanya bercita-cita menjadi pakar biologi marin.

Kejayaan tersebut juga sangat membanggakan kerana berjaya mengharumkan nama negara dan KYSM di peringkat serantau.

Secara keseluruhan, pencapaian itu menjadi bukti keupayaan murid Malaysia untuk bersaing secara kompetitif di pentas antarabangsa serta menunjukkan tahap penguasaan STEM yang tinggi.

KYSM Juara tiga daripada tujuh kategori utama SSYS 2026.

Kejayaan tersebut juga selaras dengan aspirasi Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) dalam memperkukuh pendidikan STEM dan melahirkan generasi berdaya saing global.

Sementara itu, Ketua Seksyen Teknikal dan Penasihat SihatBOT KYS Melaka, Cikgu Faizal Mahmod berkata, persiapan pelajar untuk SSYS 2026 bermula agak awal iaitu sejak mereka tingkatan satu.

“Ketika itu, kita sudah mula kenal pasti pelajar yang ada minat dan potensi, terutama dari segi cara mereka berfikir dan menyelesaikan masalah.

“Sejak itu, pelajar dibimbing secara berperingkat untuk membina asas yang kukuh daripada kefahaman konsep sehinggalah kepada cara menjalankan kajian dan menyelesaikan masalah.

“Pada masa sama, mereka turut didedahkan kepada pertandingan dari peringkat sekolah hingga antarabangsa, selain diperkukuhkan dengan ilmu pengaturcaraan yang dipelajari sejak tingkatan satu di KYS.

“Sepanjang proses itu, kita banyak buat sesi maklum balas supaya mereka boleh nampak sendiri perkembangan dan lebih yakin dengan apa yang diusahakan,” jelasnya.

Faizal menambah, dalam proses latihan, pelajar digalakkan berfikir di luar kotak dengan memberi ruang untuk mereka meneroka idea, tanpa terlalu menghadkan pemikiran.

“Kadang-kadang, idea yang nampak ‘biasa’ itu sebenarnya boleh jadi sesuatu yang bernilai, kalau dikembangkan dengan betul.

“Kita banyak guna pendekatan, pelajar sendiri kena berfikir, bukan sekadar ikut arahan.

“Mereka juga digalakkan untuk bertanya, cabar idea sendiri dan lihat sesuatu dari sudut berbeza,” ujarnya.

Mengulas mengenai kekuatan pelajarnya, Faizal melihat Rayyan Harith dan Al Hyfzul sebagai individu yang konsisten serta tidak mudah berputus asa.

“Apa yang saya nampak, mereka ini sangat konsisten dan tak mudah putus asa.

“Bila jumpa masalah, mereka akan cuba faham betul-betul sebelum cari jalan penyelesaian,” katanya.

Tambahnya, kedua-dua pelajar itu juga mempunyai inisiatif tinggi dan sentiasa terbuka menerima maklum balas, sekali gus membantu mereka menghasilkan projek lebih berkualiti serta berdaya saing.

Namun begitu, cabaran tetap wujud dalam membimbing para pelajar ke pertandingan berprestij itu.

Antara cabaran paling utama adalah untuk memastikan para pelajar kekal konsisten dan bermotivasi sepanjang tempoh persiapan.

“Selain itu, bagi seimbangkan antara kreativiti dengan keperluan teknikal juga bukan mudah.

“Kadang-kadang idea sudah bagus, tapi dari segi teknikal, ia masih perlu diperkemaskan lagi,” jelasnya.

Sementara itu, pengurusan masa menjadi cabaran kerana pelajar perlu membahagikan waktu antara akademik dan persiapan projek selama berbulan-bulan.

Secara keseluruhan, Faizal berkata, pengalaman bertanding di peringkat sekolah hingga ke antarabangsa membantu pelajar membina keyakinan bagi mempersiapkan mereka bersaing di peringkat lebih tinggi selepas ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN