BEIJING – Aktres China, Zhang Jingyi tampil menjelaskan bahawa beg plastik warna kuning yang dibawa olehnya dalam satu majlis baru-baru ini bukan jenama mewah, lapor laman berita NDTV.
Jingyi berkata, beg itu sebaliknya peralatan dalam filem terbaharunya, The One. Ia melambangkan komunikasi unik watak dibawa Jingyi dengan ibu bapanya yang cacat pendengaran.
Jingyi menjadi sensasi apabila klip video dia memegang beg plastik itu pada Festival Filem Antarabangsa Beijing 2025 itu menjadi tular di media sosial.
Beg itu disalah anggap sebagai barang mewah, dengan sesetengah pihak menyamakannya dengan beg plastik ‘Trash Bag’ Balenciaga berharga AS$1,790 (RM7,200).
Pengguna media sosial pula memberikan reaksi berbeza dengan ada yang bergurau tentang persamaan begnya dengan beg pasar, manakala sebilangan netizen melihatnya sebagai pernyataan fesyen yang berani.
Dalam salah satu catatan di platform Reddit, seorang pengguna menulis: “Fesyen telah menjual versi mahal barangan murah selama beberapa dekad.” – AGENSI














