KUALA LUMPUR – Dakwaan mengenai kewujudan dadah berbentuk gula-gula dikenali sebagai ‘strawberry quick’ yang kononnya diedarkan kepada pelajar sekolah disahkan tidak benar dan hanya berita tular semula di media sosial.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Datuk Hussein Omar Khan berkata, semakan menyeluruh yang dilakukan Polis Diraja Malaysia bersama Kementerian Pendidikan mendapati tiada sebarang kes atau rampasan bahan tersebut direkodkan di seluruh negara.
Menurutnya, semakan pertama dibuat pada 5 Februari 2025 diikuti semakan terkini pada semalam, namun hasilnya kekal sama iaitu maklumat berkenaan tidak sahih.
“Maklumat ‘strawberry quick’ yang sama pernah viral (tular) sejak awal tahun 2025 lagi. Sekarang ini diviralkan lagi,” katanya hari ini.
Beliau berkata, mesej tular itu mendakwa terdapat sejenis dadah menyerupai gula-gula berperisa strawberi yang kononnya diedarkan kepada kanak-kanak di sekolah sehingga menyebabkan mereka dimasukkan ke hospital.
Bagaimanapun, katanya, siasatan mendapati gambar dan naratif yang digunakan berkemungkinan bertujuan menakutkan ibu bapa dan remaja agar lebih berhati-hati.
“Namun, pasa masa yang sama juga boleh mengusarkan masyarakat dengan berita yang tidak sahih seperti ini,” ujarnya.
Terdahulu, tular di media sosial satu mesej yang mendakwa kononnya wujud dadah baharu berbentuk gula-gula berperisa strawberi dikenali sebagai ‘strawberry quick’ atau ‘meth strawberi’ yang diedarkan kepada pelajar sekolah.
Mesej tersebut turut mendakwa bahan berkenaan menyerupai gula-gula yang meletup di dalam mulut serta mempunyai pelbagai perisa lain seperti coklat, cola, anggur dan oren sehingga menyebabkan kanak-kanak yang terpedaya dimasukkan ke hospital dalam keadaan serius. – KOSMO! ONLINE














