PORT DICKSON – Seorang lelaki maut apabila motosikal yang dia tunggang melanggar sebuah kenderaan yang keluar dari persimpangan di kilometer 12.3, Jalan Pantai, di sini, pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Maslan Udin berkata, kejadian kira-kira pukul 9 pagi itu melibatkan sebuah motosikal jenis yamaha Y15ZR yang ditunggang oleh mangsa berusia 21 tahun dan sebuah kenderaan jenis pelbagai guna (MPV) Toyota Avanza yang dipandu oleh seorang lelaki tempatan berusia 65 tahun.
Menurutnya, kejadian dipercayai berlaku apabila kereta tersebut keluar dari simpang sebuah kawasan perumahan untuk memasuki jalan utama sebelum dilanggar di sebelah kanan kenderaannya oleh motosikal yang datang dari arah Taman Intan Perdana menghala ke Sunggala Gateway.
“Akibat kejadian, penunggang motosikal yang dalam perjalanan ke tempat kerja sebagai penjaga stor sebuah pasaraya mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian. Pemandu kereta tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.
Ujar Maslan lagi, siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengenal pasti punca sebenar kemalangan dan orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa mematuhi undang-undang jalan raya, memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik serta berhati-hati terutama ketika cuaca hujan dan jalan licin.- KOSMO! ONLINE














