PETALING JAYA – Petronas hari ini menafikan penglibatannya dalam cadangan pengaturan bekalan bahan api yang melibatkan sebuah unit kerajaan tempatan di Filipina sebagaimana yang dilaporkan media baru-baru ini.
Menurutnya dalam satu kenyataan, ia tidak menyedari atau terlibat dalam sebarang pengaturan sedemikian, dan belum memeterai sebarang perjanjian atau komitmen berkaitan.
“Tumpuan segera Petronas adalah untuk memastikan bekalan bahan api yang boleh dipercayai dan berterusan tersedia untuk Malaysia.
“Ini kekal menjadi keutamaan utamanya, disokong oleh rangkaian bekalan yang mantap dan penyelarasan rapat dengan kerajaan,” katanya.
Philippine News Agency sebelum ini melaporkan Kerajaan Wilayah Davao del Norte, terletak di pulau Mindanao di bahagian selatan Filipina merancang membeli 44 juta liter minyak mentah dan petrol dari Malaysia bagi membantu mengekang kenaikan harga minyak di wilayah itu.
Minyak itu dijangka dibekalkan melalui Petronas. – KOSMO! ONLINE














