fbpx
Aedy Fadly (depan kiri) bersama Pengarah Urusan Institut Memandu Warisan Integriti Sdn. Bhd, Datuk Md. Rosli Abd Wahab (dua kanan) melihat Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Norizan Khazali memotong riben sebagai tanda pelancaran institut itu di Kuala Ketil, Baling hari ini.

JPJ perkenal garis panduan baru litar latihan memandu dalam bangunan bertingkat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BALING – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) memperkenalkan garis panduan baharu bagi permohonan penubuhan institut memandu (IM) apabila membenarkan pembinaan litar latihan memandu di dalam bangunan bertingkat.

Ketua Pengarahnya, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, garis panduan itu digubal selaras dengan Kaedah-Kaedah Kenderaan Motor (Sekolah Memandu) 1992 di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333).

“Pendekatan ini penting bagi mengelakkan ketidakseimbangan antara penawaran dan permintaan yang boleh menjejaskan operasi institut memandu serta kepentingan calon.

“Setiap permohonan akan dipertimbangkan mengikut garis panduan bagi memberi ruang kepada pengusaha IM meneruskan operasi di kawasan padat serta membolehkan calon tidak perlu menunggu lama untuk melalui proses mendapatkan lesen,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Institut Memandu Warisan Integriti Sdn Bhd dan Rumah Terbuka Aidilfitri di Kuala Ketil, di sini, hari ini.

Aedy Fadly berkata, antara penambahbaikan utama termasuk penilaian keupayaan pemohon membangunkan IM dalam tempoh ditetapkan serta pertimbangan berdasarkan kapasiti IM sedia ada di sesuatu kawasan.

Katanya, JPJ juga memansuhkan penetapan jarak minimum antara IM baharu dan sedia ada selain tiada lagi had minimum keluasan tanah.

“Selain itu, pemohon perlu mengemukakan kelulusan pihak berkuasa berkaitan serta memenuhi keperluan modal kewangan yang ditetapkan. Kita juga membuka konsep baharu institut memandu yang tidak lagi terikat kepada bentuk sedia ada termasuk membolehkan operasi dijalankan di dalam bangunan,” katanya.

Beliau berkata, pembangunan IM dalam bangunan bertingkat dilihat sebagai langkah inovatif bagi mengatasi kekangan tanah khususnya di kawasan berkepadatan tinggi atau sesak.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN