“KUIH dan muih beraneka macam, makanlah jangan hanya dipandang.”
Potongan bait lagu Suasana Hari Raya nyanyian Anuar Zain dan Ellina menggambarkan bahawa amalan menyediakan kuih raya telah menjadi sebahagian daripada tradisi yang diwarisi sejak turun-temurun.
Barisan kuih raya klasik seperti kuih bangkit, semperit, mazola, baulu, tart nanas dan batang buruk menjadi antara hidangan wajib untuk dijamu tetamu.
Namun, seiring peredaran waktu, kuih raya juga dilihat melalui proses evolusi dari segi rasa, pembuatan dan rupa.
Dari segi perisa, kuih raya dahulu biasanya mempunyai satu perisa saja, kini sudah memiliki pelbagai pilihan ditambah pula dengan perisa-perisa ‘selera moden’ agar dapat meliputi cita rasa lapisan usia.
Menurut seorang pengusaha kuih raya, Emma Fauzi, perubahan kuih raya hari ini berkemungkinan disebabkan oleh pengaruh media sosial dan kreativiti khalayak yang gemar bereksperimen dengan perisa baharu.
Katanya yang juga merupakan Pegawai Pemasaran Kue’Kas Bangi, meskipun pasaran kini dipenuhi dengan pelbagai kuih raya moden tetapi permintaan terhadap kuih raya tradisional tetap mendapat sambutan hangat.
“Kuih klasik macam makmur, semperit, batang buruk memang mendapat permintaan tinggi pada tahun ini. Kalau diikutkan ‘orang lama’ masih lagi mencari kuih raya lama yang klasik.
“Berbeza pula dengan orang muda yang lebih tertarik kuih raya moden atau kuih raya klasik tetapi diolah dengan perisa baharu seperti coklat cip, teh hijau (matcha), tiramisu, keju, Nutella, strawberi matcha dan pistasio coklat.
“Kuih cornflakes madu misalnya yang selalu kita boleh lihat di mana-mana rumah, tetapi sekarang sudah berbeza apabila cornflakes kini sudah ada perisa baharu seperti Nutella, pistasio dan kranberi sekali gus menjadi kegilaan orang-orang muda masa kini.
“Bukan saja kuih cornflakes, kuih bangkit juga sudah mempunyai pelbagai perisa berbanding dahulu cuma ada perisa kelapa, tetapi sudah mempunyai coklat, tiramisu, nestum dan keju.
“Begitu juga dengan kuih semperit yang dahulu hanya ada perisa asli (mentega), tetapi sekarang sudah diolah menjadi perisa susu dan keju,” katanya ketika ditemui CitaRasa baru-baru ini.
Pengurus Kue’Kas Bangi, Ahmad Ruzaidi pula memberitahu, pihaknya selaku penjual kuih raya sentiasa menyeimbangkan jualan kuih tradisional dan moden. Tradisional atau moden, permintaan tetap ada.
Katanya, kuih lama tidak lapuk ditelan dek zaman meskipun rasanya diolah mengikut kesesuaian masa.
“Kuih yang kami jual juga bukan sekadar mengikut selera pembeli, tetapi pada masa sama kami juga mendidik pelanggan dengan berkongsikan info tentang latar belakang kuih tersebut sama ada merupakan olahan daripada kuih lama atau tidak.
“Cara ini secara tidak langsung kita mendidik golongan muda untuk mengetahui bagaimana rupa asli kuih tersebut sekiranya sudah berubah bentuk atau perisa,” ujarnya.
Bagi penggemar kuih bangkit klasik, Masriah Mahyadin, 39, asimilasi teknologi dengan rasa ingin tahu membuatkan masyarakat sekarang gemar mencuba sesuatu yang baharu.
Meskipun menyambut baik evolusi kuih raya moden, namun Masriah tetap tidak melupakan sejarah kuih raya tradisional yang sudah lama menjadi penyeri setiap kali tibanya Syawal.
“Saya merupakan seorang penggemar kuih bangkit yang resipinya sudah dipelajari sejak turun-temurun. Agak sedikit rumit tetapi begitulah cara orang lama dan bukannya shortcut (jalan pintas) seperti sekarang,” katanya.

Menerangkan proses membuat kuih bangkit cara lama yang menggunakan proses agak rumit dan banyak bahan, ia nyata berbeza daripada cara era kini.
“Saya akan membuat sendiri kuih bangkit perisa asli dengan cara tepung ubi disangai atau digoreng tanpa minyak bersama daun pandan sampai garing.
“Kemudian tepung perlu disejukkan sepenuhnya dan segelintirnya akan peram semalaman supaya nanti tekstur kuih akan lebih lembut, halus dan rapuh.
“Santan pula bukan segera dari dalam kotak, perlu guna asli yang diperah supaya lebih segar kemudian dimasuk bersama gula sehingga gula putih larut dan dibiarkan supaya suhunya sejuk.
“Masak santan ini pula kena hati-hati, kawal api baik-baik sebab takut hangus, tak jadi pula kuih nanti sebab bila hangit, kuih boleh jadi gelap dan lembik,” terangnya.
Tidak terhenti di situ, proses menghasilkan kuih bangkit diteruskan dengan campuran kuning telur (dipukul) ke dalam santan sebelum dituangkan sedikit demi sedikit ke dalam bahan tepung yang sudah disangai.
“Gaul dan bentuk kuih menggunakan acuan dengan penuh berhati-hati sebelum siap untuk dibakar.
“Kalau bercakap tentang proses bakar dulu dan sekarang memang banyak berbeza juga kerana dahulu kawalan api penting (menggunakan dapur arang). Kemudian ke era ke ketuhar dan sekarang ini sudah boleh menggunakan air fryer saja,” katanya.
Kuih raya dahulu dan sekarang boleh dikatakan ketara dari segi pembuatannya. Masyarakat kini cukup tertarik dengan resipi pembuatan ringkas menggunakan tiga atau empat bahan sahaja dan resipi kuih raya tanpa bakar atau no bake. Lazimnya hanya masuk peti sejuk dan siap.
Bahan-bahan pula banyak yang sedia didapati misalnya nestum, bar coklat, nutella, biskut dan roti.
Pengusaha kuih raya moden, Nurulhuda Saini, 41, sering berkongsikan resipi dan penyediaan kuih raya tanpa bakar yang kini dilihat menjadi kegilaan golongan belia. Disifatkan lebih mudah, malah bahan-bahan digunakan juga tidak terlalu sukar didapati seperti coklat putih bersama nestum saja sudah memadai.
“Pembuatannya juga tidak perlu melalui proses yang rumit. Hanya perlu double boil (dwididih) coklat putih sehingga cair sebelum gaulkan bersama nestum, kemudian bentukkan acuan mengikut kesesuaian dan letakkan di dalam peti sejuk agar adunan mengeras.
“Boleh dikatakan sekarang kuih strawberi matcha agak popular di media sosial. Jadi, caranya mudah iaitu campurkan teh hijau ke dalam adunan coklat putih yang telah cair.
“Kemudian campurkan bersama nestum dan gaul sebati sebelum melakukan proses sama iaitu double boil coklat putih bersama coklat strawberi untuk disalut atau coklat drizzling (hiasan coklat cair) di atasnya,” ujarnya.
Tidak dinafikan kuih raya moden dengan pelbagai perisa baharu mudah mendapat tempat di hati masyarakat, namun itu bukan bermaksud tradisi lama dilupakan begitu saja.
“Pada saya tidak salah untuk kita meraikan perbezaan dan merasai kuih moden. Menikmati kuih moden bukan bermaksud kita melupakan kuih tradisi.
“Perubahan rasa atau bentuk tidak mencerminkan kita sudah melupakan kuih terdahulu kerana jika kita lihat masih banyak lagi kuih tradisional masih dijual dan mendapat permintaan.
“Membezakan hanya rasa, tetapi tradisi dan memori kuih raya itu tetap mekar dari generasi ke generasi seterusnya,” ujarnya.
Aneka pilihan kuih raya dari klasik dan moden secara tidak langsung menunjukkan bahawa manisan dan biskut itu turut menjalani transformasi dalam dunianya sendiri.
Berkongsi pandangan mengenai perubahan kuih raya dahulu dan kini, Cef Pastri di Hotel Putrajaya Marriott, Suhairizam Yahya memberitahu, hal ini berlaku kerana beberapa faktor antaranya trend semasa dan situasi masyarakat yang sentiasa sibuk dan bergerak pantas.
“Hari ini pendedahan terhadap dunia luar lebih mudah diakses dengan adanya media sosial dan ini turut melibatkan aspek kulinari.
“Dengan trend makanan moden, ia secara tidak langsung memberi idea kepada pembuat kuih raya untuk menampilkan inovasi tersendiri untuk dijual sempena musim perayaan,” katanya yang mesra disapa Cef Zam.
Tambahnya, mengambil contoh perisa yang tular seperti strawberi matcha telah mencetus inspirasi dengan kewujudan kuih raya rasa tersebut.
Selain itu, campuran keju dalam kuih raya juga telah menjadikan banyak kuih klasik diberi perisa dari Eropah itu seperti bangkit, semperit dan tart nanas.
Dari aspek pembuatan kuih pula, kata Cef Zam, pembuatan kuih moden lebih mudah dihasilkan kerana masyarakat hari ini lebih gemar melakukan sesuatu yang ringkas dan menjimatkan masa.
“Jika dahulu, dunia tidak sesibuk sekarang dan kuih klasik juga mempunyai pelbagai teknik yang memerlukan masa, ada diantaranya seharian untuk disiapkan menjadikan di sesetengah kampung orang akan bergotong-royong membuat kuih raya.
“Hari ini dengan inovasi mesin dan olahan resipi moden serta pek bancuhan segera, kebanyakan orang memilih untuk buat kuih lebih ringkas untuk dijamu ketika hari raya,” ujarnya.
Meskipun terdapat perubahan sedemikian, Cef Zam melihat kuih klasik masih lagi relevan biarpun cita rasa masyarakat semakin cerewet.Malah, generasi masa kini juga ada yang menyukainya.
“Walaupun kuih moden banyak di pasaran, saya percaya kuih klasik tidak kalah saing dan masih mendapat permintaan kerana kebanyakan masyarakat dibesarkan dengan manisan ini.
“Tidak kira kuih moden atau klasik, kuih raya adalah signatur kepada perayaan tahunan kita dan ia harus dikekalkan dan diwariskan buat generasi akan datang,” tambahnya.
















