fbpx
ONN HAFIZ bergambar kenangan dengan mahasiswa Johor ketika menyampaikan Bantuan Kasih Johor DUN Layang-Layang, Kluang baru-baru ini.

Peruntukan RM152.88 juta perkasa pendidikan anak Johor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

JOHOR BAHRU – Kerajaan Negeri Johor terus membuktikan komitmen tinggi dalam menjaga kebajikan mahasiswa apabila memperuntukkan sebanyak RM152.88 juta bagi pelaksanaan pelbagai inisiatif pendidikan sejak 2023 hingga tahun ini.

Langkah itu selari dengan titah Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim yang menekankan kepentingan pembangunan anak muda sebagai tonggak masa depan negeri.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, secara keseluruhan, seramai 404,547 mahasiswa anak Johor telah menerima manfaat hasil peruntukan besar yang disalurkan secara tersusun, bersasar dan inklusif.

Menurutnya, peruntukan tersebut mencerminkan kesungguhan kerajaan negeri dalam memastikan akses pendidikan yang lebih luas tanpa mengira latar belakang sosioekonomi mahasiswa.

“Antara inisiatif terbesar ialah Insentif Mahasiswa Anak Johor (IMAJ) dengan peruntukan RM49.6 juta yang memanfaatkan 231,459 penerima.

“Selain itu, Skim Bantuan Pendaftaran melibatkan RM17.9 juta kepada 38,876 mahasiswa, manakala Skim Pinjaman Pelajaran Yayasan Pelajaran Johor (YPJ) memperuntukkan RM39.14 juta kepada 8,400 penerima,”katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Onn Hafiz berkata, kerajaan negeri turut menyediakan Bantuan Laptop Siswa Johor berjumlah RM23.96 juta bagi membantu 9,000 mahasiswa memiliki kemudahan pembelajaran yang lebih baik.

Tambahnya, dalam masa sama, Persatuan Mahasiswa Anak Johor menerima RM2.68 juta melibatkan 20,000 ahli, selain Jelajah Mahasiswa Johor 2025 dengan peruntukan RM1.3 juta yang memberi manfaat kepada 80,000 mahasiswa.

Katanya, program lain termasuk Duta Mahasiswa Johor dengan peruntukan RM600,000 melibatkan 1,000 peserta serta Biasiswa Orang Muda Johor berjumlah RM11.9 juta.

“Kerajaan Negeri tidak pernah berkompromi dalam soal pendidikan kerana ia adalah pelaburan jangka panjang yang akan menentukan masa depan Johor.

“Peruntukan yang disalurkan ini adalah bukti kesungguhan kita untuk memastikan tiada anak Johor yang tercicir dan semua mendapat peluang pendidikan yang sewajarnya,”katanya.

Menurut beliau, pendekatan menyeluruh yang dilaksanakan bukan sahaja membantu meringankan beban mahasiswa, malah meningkatkan kebolehpasaran graduan serta memperkukuh pembangunan modal insan.

Tambahnya, usaha berterusan itu diyakini mampu melahirkan generasi berilmu, berkemahiran dan berdaya saing tinggi demi memastikan Johor terus maju pada masa hadapan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN