KOTA BHARU – Penyanyi wanita sohor Kelantan, Eda Ezrin akan terus fokus kepada bidang nyanyian dan perniagaan selepas bersalin pada hujung April ini.
Eda Ezrin atau Wan Norshaheeda Azlin Wan Ismail berkata, dia akan terus aktif dalam seni suara dengan menyanyikan lagu-lagu ciptaan Eddie Hamid selain menceburkan diri dalam bidang perniagaan.
Katanya, dia mahu membina hidup baharu dan enggan menoleh ke belakang sekali gus mengenang semula peristiwa hitam yang pernah melanda dirinya sebelum ini.
“Apa yang penting, saya mahu fokus untuk berniaga dan bernyanyi selepas bersalin pada hujung April ini,” ujarnya.
Eda Ezrin memberitahu, bagi menghidupkan semula karier dalam bidang nyanyian, dia yakin lagu baharunya, Adik Saye Abe Sore bersama pasangan duet, Den Manjo mampu mengulangi kejayaan lagu Bea Sobar Bea atau Cinta Setandang Pisang yang mencetuskan fenomena luar biasa sebelum ini.
Menurutnya, ia mampu direalisasikan dengan sokongan padu yang diberikan oleh peminat seperti karya Bea Sobar Bea.
“Alhamdulillah, lagu itu sudah mendapat sebanyak lebih 57,000 tontonan selepas dua hari dilancarkan secara rasmi di YouTube Kijang Music. Saya harap lagu ini memberi rezeki bersama rakan duet Den Manjo.
“Rakaman lagu ini tertangguh lebih setahun selepas saya berdepan ‘ujian’ hidup. Jadi saya harap peminat dapat terus sokong saya dengan lagu Adik Saye Abe Sore,” katanya ketika ditemui pemberita semasa Majlis Hari Raya Eddie Hamid Fans Club (EHFC) dan Pelancaran Lagu Adik Saye Abe Sore di sini semalam.
Sementara itu, Den Manjo mengakui teruja dapat kembali bergandingan dengan Eda Ezrin sekali gus menyelesaikan tugasan yang ‘tertangguh’ lebih setahun itu.
Katanya, dia gembira apabila gandingan bersama Eda Ezrin mereka masih utuh dalam membawakan lagu dialek Kelantan.
“Terima kasih kepada abang Eddie Hamid atas peluang ini. Dalam tempoh 21 jam, lagu itu sudah mencecah 40,000 tontonan dan ia merupakan satu pencapaian yang jarang berlaku untuk lagu-lagu dialek Kelantan,” katanya.
Menurutnya, dia sanggup menunggu rakan duetnya itu hampir setahun demi rakaman lagu tersebut merupakan kesinambungan kepada Cinta Setandang Pisang.
“Saya sendiri jarang berduet dengan orang lain selain Eda Ezrin. Jadi, saya sedia menunggunya walaupun lama. Kami berharap lagu ciptaan Eddie Hamid dan lirik oleh Fadil Turbo ini bakal menjadi fenomena sekali gus diterima ramai,” katanya.
Lagu Cinta Setandan Pisang dendangan Den Manjo dan Eda Ezrin mengungguli kategori Lagu Etnik Terbaik pada Anugerah Industri Muzik (AIM) Ke-24 pada tahun lalu.
Lagu ciptaan Eddie Hamid itu menewaskan empat karya hebat lain seperti Menyantun Kasih dendangan Siti Nordiana, Magis (Datuk Seri Siti Nurhaliza), Kalam (Shiha Zikir) dan Oh Huminodun (Elica Paujin).
Hasil kemenangan ity, lagu dialek Kelantan yang popular dengan lirik Bae Sobar Bae itu berjaya membawa pulang wang tunai RM50,000 menerusi peruntukan Dana Kandungan Digital (DKD).
Berdasarkan rekod, lagu Cinta Setandang Pisang mencetus fenomena apabila lagu dialek Kelantan itu merekodkan jumlah tontonan tertinggi di YouTube dengan sebanyak 33 juta tontonan. – KOSMO! ONLINE














