fbpx
Antara warga asing ditahan untuk pemeriksaan dalam serbuan di Menara Paragon, Cyberjaya, kelmarin.

13 ditahan, JIM gempur premis perniagaan didominasi warga asing

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Jabatan Imigresen (JIM) menggempur premis perniagaan yang didominasi warga asing dalam operasi bersepadu di Menara Paragon, Cyberjaya, kelmarin.

Operasi bermula pukul 9 malam itu dijalankan dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, ia susulan risikan selama seminggu serta maklumat dan aduan awam yang diterima berhubung kewujudan aktiviti warga asing di kawasan berkenaan.

Menurutnya, operasi menumpukan terhadap premis makanan, kiosk, pusat jualan serta premis perniagaan di sekitar kawasan berkenaan yang dipercayai menggaji serta melindungi pendatang asing tanpa izin (PATI).

Kata beliau, sebanyak 16 premis diperiksa melibatkan 105 warga asing dan 89 warga tempatan dalam operasi terbabit.

“Daripada jumlah itu, seramai 13 warga asing berusia antara 26 hingga 35 tahun telah ditahan terdiri daripada warga Sudan, India, Pakistan, Nepal, Myanmar dan Indonesia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, satu Borang 29 Saman kepada Saksi turut dikeluarkan kepada seorang warga tenpatan bagi membantu siasatan.

Katanya, kesemua warga asing yang ditahan telah dibawa ke Depot Tahanan Imigresen Putrajaya untuk siasatan dan tindakan lanjut.

“JIM akan terus mempergiat operasi penguatkuasaan dari semasa ke semasa dan tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang menggaji atau melindungi PATI di negara ini,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN