KAMPAR – Kumpulan kontraktor, usahawan, peniaga dan petani di daerah ini memohon kerajaan menyelaraskan harga diesel di seluruh negara termasuk di Semenanjung, Sabah dan Sarawak.
Langkah itu bagi mengurangkan beban kos sara hidup rakyat terutama golongan pekerja dan pengusaha dalam sektor pembinaan dan pertanian.
Seorang kontraktor, Darren Chin, 41, berkata, kenaikan harga diesel ketika ini memberi kesan ketara memacu peningkatan kos bahan binaan kerana pelbagai kos tersembunyi terpaksa ditanggung pihak industri.
“Penggunaan diesel yang meluas dalam sektor pembinaan termasuk jentera berat seperti jengkaut, jentolak dan lori menyebabkan hampir 90 peratus operasi bergantung kepada bahan api itu.
“Bila harga diesel naik, kos bahan seperti batu dan ‘crusher run’ turut meningkat. Pembekal tidak lagi mampu menyerap kos akhirnya harga barang binaan terpaksa dinaikkan,” katanya kepada pemberita pada perhimpunan aman harga diesel di sini hari ini.
Sementara itu, Ketua MCA Bahagian Kampar, Daniel Wa berkata, pihaknya menerima banyak aduan daripada penduduk berhubung kenaikan harga diesel terkini sebanyak RM4.72 seliter.
“Peningkatan itu memberi tekanan besar kepada pengguna kenderaan diesel termasuk petani, penternak dan peniaga kecil yang bergantung kepada kenderaan pacuan empat roda. Ramai yang mengadu kos bahan api meningkat mendadak.
“Sekali isi penuh tangki boleh mencecah ratusan ringgit, sudah tentu ini sangat membebankan mereka,” katanya. – KOSMO! ONLINE













