SELEPAS hampir seminggu umat Islam di negara ini meraikan Hari Raya Aidilfitri, para perantau yang pulang ke desa sudah mula kembali ke ibu kota untuk meneruskan rutin harian mereka.
Apabila pulang dari kampung selepas berhari raya, kebanyakan orang pasti mengalami masalah kewangan yang meruncing.
Apa tidaknya, kebanyakan daripada kita akan berbelanja lebih pada hari raya untuk membeli pakaian baharu, menyediakan hidangan kepada tetamu yang bertandang dan lain-lain lagi. Bagi mereka yang berduit, segala persiapan raya boleh dilakukan dengan senang hati tanpa perlu memikirkan soal wang ringgit.
Sekiranya segala persiapan raya dibuat hanya menggunakan duit gaji yang cukup-cukup makan saja, pastinya ia boleh menjejaskan kewangan seseorang.
Misalnya pada tahun ini, kebanyakan pekerja sama ada kakitangan kerajaan atau swasta yang bergaji pada hujung bulan mendapat upah lebih awal.
Manakala bagi pekerja yang bergaji awal bulan pula, mereka dibayar wang pendahuluan sebanyak 50 peratus daripada gaji bagi membuat persiapan raya.
Apabila gaji yang sepatutnya digunakan untuk membayar komitmen setiap bulan dihabiskan untuk menyambut raya, maka ramai akan pening kepala.
Kalau ada wang simpanan dalam bank, inilah masanya untuk menggunakannya. Bagi yang tiada simpanan, pilihan yang ada hanya membuat pinjaman wang.
Salah satu pilihan pinjaman yang cepat dan mudah adalah along atau ceti haram.
Malah baru-baru ini, penulis menerima dua mesej daripada pihak tidak dikenali yang menawarkan pinjaman mudah sehingga RM10,000 dengan kadar bunga agak tinggi.
Memandangkan penulis tidak berada dalam situasi ‘terdesak’, mesej tawaran itu diabaikan begitu saja bak air sungai yang mengalir. Bagaimana pula dengan mereka yang mungkin ada masalah kewangan selepas raya? Adakah mereka akan ambil loan itu tanpa berfikir panjang?
Persoalan tersebut sentiasa bermain dalam fikiran penulis. Pastinya mereka yang berada dalam masalah kewangan ketika ini lebih mudah tergoda dengan tawaran pinjaman daripada along.
Apabila tawaran pinjaman itu diterima, tanpa sedar peminjam terjerumus dalam hutang yang membebankan dan tidak adil. Biarpun wang pinjaman itu mampu menyelesaikan masalah kewangan yang dihadapi ketika ini, namun peminjam akan menghadapi kesulitan lebih besar untuk jangka masa panjang.
Mereka bukan saja perlu membayar kadar bunga yang tinggi, malah berdepan risiko diganggu along jika gagal melunaskan pinjaman pada waktu yang ditetapkan.
Hakikatnya ketika ini, banyak bank dan syarikat e-dagang yang sudah menawarkan pinjaman mudah dan patuh syariah. Dalam tempoh satu hari, wang sudah masuk ke dalam bank peminjam.
Biarpun kadar bunganya agak tinggi, namun ia lebih baik dan selamat berbanding meminjam wang daripada along.
Justeru itu, penulis menyarankan kepada masyarakat supaya pilih saluran yang betul untuk membuat pinjaman wang, elak merana di kemudian hari. -KOSMO! ONLINE














