KEMAMAN – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) melumpuhkan sindiket penyeludupan rokok dipercayai antara berpengaruh di Pantai Timur selepas merampas 850,000 batang rokok putih dan kretek dalam serbuan di Taman Sepakat Indah, Kuala Rompin, Pahang baru-baru ini.
Serbuan yang dilakukan sepasukan anggota penguat kuasa JKDM Cawangan Kemaman pada 11 Februari lalu itu berjaya merampas kesemua rokok disyaki diseludup dengan nilai keseluruhan termasuk duti dan cukai berjumlah RM356,259.64.
Pengarah Kastam Terengganu, Hasbollah Din berkata, kesemua barangan tersebut disorokkan dalam sebuah rumah di taman perumahan berkenaan.
“Siasatan awal percaya sindiket menyorok bekalan rokok dalam rumah bagi menyukarkan ia dikesan pihak berkuasa. Pemeriksaan mendapati rokok itu mengelakkan cukai dan duti bernilai RM283,512.04,” katanya hari ini.
Hasbollah berkata, nilai keseluruhan rokok yang disita adalah sebanyak RM72,747.60 dan kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967. – KOSMO! ONLINE














