NILAI – Polis merakam keterangan 10 saksi bagi membantu siasatan berhubung kes kecurian tong abu mayat di daerah ini.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Johari Yahya berkata, setakat ini sebanyak empat tong abu mayat sudah dijumpai, namun proses pengesahan sedang dilakukan oleh pihak pengurusan terlibat.
Katanya, pihak polis turut melakukan perbandingan dan analisis bagi mengenal pasti sama ada modus operandi penjenayah tersebut mempunyai kaitan dengan kes kecurian tong abu mayat di Kulai, Johor sebelum ini.
“Kita sedang mendapatkan bantuan teknikal dan menjalankan analisis lanjut termasuk aspek komunikasi dan transaksi yang terlibat,” katanya.
Sebelum ini Kosmo! melaporkan polis giat memburu suspek yang dipercayai terlibat dalam kes kecurian dan pemerasan melibatkan beberapa tong abu mayat di sebuah memorial park selepas pihak pengurusan mendapati ia hilang pada 26 Februari lalu.
Siasatan awal mendapati suspek menghubungi pihak pengurusan melalui WhatsApp menggunakan nombor luar negara dan mendakwa menjumpai abu mayat sebelum menuntut bayaran sebagai syarat untuk memulangkannya.- KOSMO! ONLINE














