BRACKLEY – Masa depan George Russel bersama Mercedes kembali menjadi tanda tanya selepas rakan sepasukannya, Kimi Antonelli memenangi Grand Prix (GP) China di Litar Antarabangsa Shanghai minggu lalu.
Walaupun kedua-dua pelumba itu dilihat tidak ada sebarang masalah, namun desas-desus mendakwa persaingan dalam pasukan sangat sengit bagi memahat status sebagai pelumba utama pasukan Silver Arrows berkenaan.
Legenda F1, David Coulthard menegaskan, Russell kini berdepan ancaman cukup besar daripada Antonelli bagi merebut kedudukan sebagai pelumba utama, lebih-lebih lagi timbul spekulasi Mercedes cuba memancing khidmat Max Verstappen.
“Bagi saya, George tidak boleh berada dalam keadaan selesa ketika ini kerana dia sudah ada ancaman untuk perebutan takhta kejuaraan 2026. Orang nampak mereka sebagai satu pasukan tetapi ia tidak seperti itu.
“Ia dapat dibuktikan menerusi persaingan antara Lando Norris dan Oscar Piastri pada musim lalu. Akibat persaingan antara dua pelumba itu, Max (Verstappen) dapat kembali mencabar kejuaraan,” katanya.
Tambah Coulthard, George dan Russell akan bersaing sesama sendiri pada GP Jepun yang akan berlangsung di Litar Suzuka hujung minggu ini bagi membuktikan mereka layak untuk kekal bersama Mercedes.
“Rakan sepasukan bukanlah rakan anda. Sekiranya anda boleh gembira dengan kejayaan rakan sepasukan, itu satu perkara yang bagus tetapi ia juga boleh menjadi detik kejatuhan anda,” ujarnya. – AGENSI














