PELUMBA Moto3 sensasi negara, Muhammad Hakim Danish Ramli mengutip mata pertama dalam saingan Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) musim ini selepas menamatkan Grand Prix (GP) Bazil di kedudukan ke-10.
Pada perlumbaan yang berlangsung di Litar Antarabangsa Ayrton Senna awal pagi semalam, dia memulakan saingan di petak ketiga selepas berjaya menampilkan aksi cukup baik pada sesi kelayakan Sabtu lalu.
Bagaimanapun, dia berdepan cabaran pelumba-pelumba lain sepanjang perlumbaan dan terpaksa akur tidak dapat mengekalkan kedudukan dalam kelompok hadapan, namun tempat ke-10 sudah cukup untuk dia mengutip enam mata.
Bagi pelumba pasukan MT Helmets-MSI itu, dia berpuas hati dengan aksi ditampilkan sepanjang minggu perlumbaan selain mengakui dia sepatutnya mencatat keputusan lebih baik pada perlumbaan tersebut.
“Minggu yang agak baik untuk saya kerana banyak peningkatan ditunjukkan. Hari ini (semalam) saya menamatkan perlumbaan di petak ke-10 tetapi secara jujur, saya yakin boleh dapatkan keputusan lebih baik,” katanya..
Pada perlumbaan lima pusingan itu, kemenangan menjadi milik pelumba CFMOTO Aspar Racing, Maximo Quiles diikuti rakan sepasukannya, Marco Morelli manakala tempat ketiga menjadi milik Veda Pratama dari Honda Team Asia.
Selepas ini, saingan akan beralih ke Amerika Syarikat (AS) di Litar Americas dengan Danish sedia menjadikan aksi di Brazil sebagai pembakar semangat untuk dia menampilkan tunggangan lebih baik.
“Saya akan cuba mengekalkan motivasi seperti ini untuk perlumbaan seterusnya di Austin minggu depan. Terima kasih kepada semua yang sentiasa memberikan sokongan kepada saya,” ujar pelumba kelahiran Kuala Terengganu itu.














