fbpx
ADIRA menyifatkan kejayaan Anggrek dalam TTMM2 sebagai rezeki yang tertulis buat puterinya.

‘Sebagai ibu, saya tahu macam mana nak corakkan hidup anak’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Kemenangan anak dalam program Talk To My Manager musim kedua (TTMM2) dipertikai, penyanyi Adira terbuka menerima segala kritikan serta menyifatkan kejayaan tersebut sebagai rezeki yang tertulis buat Anggrek.

Selaku pengurus, Adira atau nama penuhnya Siti Adira Suhaimi, 34, menganggap Anggrek memberikan persembahan yang memuaskan sehingga berjaya menambat hati juri profesional.

“Saya anggap kemenangan ini sebagai rezeki Anggrek. Setiap orang ada rezeki masing-masing.

“Jika ada netizen yang mempertikaikan keputusan tersebut, saya tidak boleh berbuat apa-apa kerana keputusan dibuat juri profesional.

“Saya menerima dengan hati yang terbuka. Saya faham bukan semua orang akan berpuas hati, bukan semua orang akan suka atau bersetuju dengan sesuatu keputusan.

“Apa yang penting, Anggrek sudah memberikan yang terbaik dan melakukan apa yang termampu. Jika ada yang menyukai persembahannya, alhamdulillah tetapi jika sebaliknya, saya tidak terlalu mengambil hati,” katanya kepada Kosmo! Online usai program MeleTOP, semalam.

Selain pertikaian kemenangan, Anggrek turut berdepan kecaman daripada sudut agama segelintir pihak yang berpendapat dia masih terlalu muda untuk terlibat dalam dunia hiburan yang dianggap penuh dengan maksiat duniawi.

Bagaimanapun, pelantun lagu Sayang Orang Sama itu memberikan jaminan bahawa dia tidak akan sesekali mengabaikan aspek penting yang lain terutamanya melibatkan pendidikan dan didikan agama.

“Sebagai seorang ibu, saya tahu bagaimana untuk mencorakkan kehidupan anak saya. Saya juga berharap orang ramai dapat mendoakan yang terbaik buat Anggrek.

“Bagi saya, nyanyian adalah minat dan hobinya. Sebagai ibu, saya perlu menyokong apa yang diminatinya, tidak mungkin saya mahu menghalangnya jika dia benar-benar meminati bidang tersebut.

“Saya akan sentiasa berada di belakang Anggrek selagi perkara yang dilakukan tidak memudaratkan dirinya. Pada masa sama, saya tetap akan memastikan keseimbangan antara agama, pelajaran dan minatnya,” jelasnya.

Dalam masa sama, Adira mengakui sudah bersedia mental dan fizikal dengan segala kemungkinan sebelum bersetuju mendedahkan anaknya kepada dunia seni.

“Saya tidak membaca setiap komen secara terperinci, tetapi kadang-kadang ada juga perkara yang sampai kepada saya melalui orang sekeliling.

“Sebelum menyertai program ini lagi saya sudah bersedia dengan segala kemungkinan. Saya sendiri pernah melalui fasa dikenali dan berdepan pelbagai komen daripada orang ramai.

“Bagi saya dan Anggrek, kami tidak mahu terlalu memikirkan perkara negatif kerana masih ramai yang memberikan sokongan dan kata-kata positif. Yang baik kita ambil, manakala yang buruk kita ketepikan,” jelasnya.

Demi mejaga emosi puterinya, Adira mengambil pendekatan mengawal ketat pengunaan media sosial kepada Anggrek.

“Saya memang mengawal penggunaan media sosialnya. Pada masa sama, saya rasa Anggrek juga seorang anak yang memahami bagaimana media sosial berfungsi,” luahnya.

Ahad lalu, Anggrek yang baru berusia sembilan tahun bersama ibunya selaku pengurus, Adira dinobatkan sebagai juara TTMM2 dan melayakkannya membawa pulang ganjaran wang tunai berjumlah RM30,000, berserta trofi.

Bagaimanapun, kemenangan tersebut tidak disambut baik apabila ada segelintir pihak yang menganggap peserta lain lebih layak memenangi tempat pertama. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN