PETALING JAYA – “Minta maaf lah ya, raya memang untuk ziarah tapi kamu semua bukan tetamu yang perlu diraikan”.
Demikian kata seorang bapa terhadap bekas menantu serta keluarganya yang datang beraya ke rumah mereka sempena sambutan Aidilfitri.
Menerusi hantaran di laman Threads, seorang wanita berkongsi situasi itu dan perbualan bapanya bersama bekas suaminya.
Dalam pertemuan tersebut, katanya, ibu bapa bekas suaminya turut memohon maaf kepada keluarganya berkaitan sikap anak mereka sebelum ini.
Namun, keadaan bertukar tegang apabila bapa wanita berkenaan tidak mengizinkan mereka untuk merujuk semula.
“Dulu ayah tak bagi kamu kahwin, tapi kamu yang merayu nak jaga anak ayah betul-betul.
“Kamu ingat semua yang kamu buat dekat anak ayah, ayah tak halalkan satu pun. Beransurlah balik sebelum benda lain jadi,” katanya.
Perkongsian terbabit yang mendapat perhatian dengan ramai bersetuju dengan tindakan bapa mempertahankan anak perempuannya.
“Saya pihak sebelah bapa awak. Sangat bersopan dalam membahasakan bekas menantu dan sangat berhelah dalam menghalau secara berlapik. Ini ciri lelaki yang patut jadi idola,” kata Mirul.
“Great job (terbaik) ayah. Semoga syurga buat semua ayah,” ujar Fiefa.
“Puas hati betul rasa bila ayah awak boleh cakap dekat mereka begitu. Tetamu tak diundang,” kata Myraa. – KOSMO! ONLINE














