SECARA tradisinya, sambutan 1 Syawal sering menjadi momen paling dinantikan umat Islam memandangkan ia merupakan antara medan terbaik berkumpul bersama keluarga untuk meraikan detik indah selepas sebulan berpuasa.
Namun, di sebalik kemeriahan sambutan Aidilfitri, ada individu terpaksa mengetepikan seketika kegembiraan bersama insan tersayang berikutan perlu menjalankan tugas yang diamanahkan.
Itulah situasi perlu dilalui Nurul Sabrina Mohd. Arif, 26, apabila menjadi antara wanita muda yang diamanahkan mengemudi pesawat Airbus A320 untuk membawa pulang anak rantau ke kampung halaman Aidilfitri ini.
Meskipun berada jauh dari keluarga di Kota Bharu, Kelantan, pada Aidilfitri ini, namun dia yang merupakan antara juruterbang wanita termuda di AirAsia tetap bersemangat memberikan perkhidmatan terbaik kepada penumpang.
Menurut Nurul Sabrina, tuntutan kerjaya sebagai seorang juruterbang memerlukan dia sentiasa bersedia mental dan fizikal lebih-lebih lagi ketika sambutan Syawal ekoran berkemungkinan berada jauh daripada keluarga.
“Apabila mula menyarungkan seragam juruterbang ini sejak dua tahun lalu, saya sentiasa berpesan kepada diri untuk bersedia bertugas ketika Aidilfitri, ia mungkin sedikit sedih, namun itu satu pengorbanan.
“Sejujurnya, apabila bertugas pada 1 Syawal dan berjaya mendaratkan pesawat dengan selamat, riak wajah gembira penumpang itulah sebenarnya satu kebahagiaan buat saya,” katanya ketika ditemui K-Wanita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 baru-baru ini.
Untuk maklumat, Nurul Sabrina mula menyertai program juruterbang kadet AirAsia pada 2019 di Langkawi, Kedah sebelum diberi lesen mengemudi Airbus A320 pada 2024.
Sebelum ini, anak sulung daripada empat beradik itu turut berjaya memperoleh keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Maktab Rendah Sains Mara Bentong, Pahang.
Bercerita lanjut, wanita muda itu berkata, meskipun berada jauh dari keluarga, namun kemeriahan Aidilfitri tetap diraikan meriah pada ketinggian 35,000 kaki di udara.
“Berdasarkan pengalaman dua tahun lalu apabila perlu bertugas pada 1 Syawal, suasana sambutannya tetap seronok walaupun suasananya sedikit berbeza iaitu di dalam badan pesawat,” katanya.
Menurut Nurul Sabrina, kebiasaannya mereka yang bertugas termasuk anak kapal membawakan beberapa juadah istimewa seperti rendang dan lemang untuk dinikmati secara bersama.
“Sebenarnya, tradisi itulah yang menjadikan suasana kerja lebih seronok, walau jauh daripada ibu dan ayah, tetapi saya masih ada keluarga besar di AirAsia,” jelasnya.
Kata wanita itu yang mula bekerja sebagai juruterbang seawal usia 24 tahun, budaya kerja harmoni diterapkan syarikat penerbangan juga memainkan peranan penting dalam memastikan emosi anak kapal kekal terjaga.
“Konsepnya mudah, jika kita bekerja dalam persekitaran harmoni, secara tidak langsung emosi juga akan terjaga dan selesa untuk bekerja walau pada hari raya,” katanya yang akan pulang ke kampung selepas selesai bertugas di hari raya.
Sementara itu, Nurul Sabrina yang mula menyimpan impian bergelar juruterbang seawal usia enam tahun turut mengakui kerjaya di awan biru bukan sesuatu yang mudah dan diapit populariti semata-mata.
Sebaliknya, kerjaya itu memerlukan dirinya untuk terus menuntut ilmu setiap hari bagi memastikan mempunyai cukup pengetahuan mengenai pelbagai aspek penerbangan termasuk teknikal pesawat.
Mengimbau ketika mula memasuki sekolah penerbangan pada tahun 2019, Nurul Sabrina mengakui berasa rendah diri dengan rakan sepasukan berikutan mereka dilihat lebih berpengalaman termasuk mempunyai ijazah sarjana muda.

“Memandangkan saya terpilih selepas tamat SPM, jadi saya belum terbiasa dengan cara pembelajaran seperti di universiti, jadi ia agak kekok. Rakan sepasukan juga ramai yang hebat belaka.
“Pada awalnya, saya berasa rendah diri kerana ramai yang hebat dan mempunyai pelbagai pengalaman, berbanding saya hanya seorang gadis muda,” katanya.
Bagaimanapun, alasan usia muda tidak menjadi penghalang kepada wanita itu apabila beliau bertekad untuk bekerja keras bagi memastikan impian sejak kecil mampu tercapai.
“Alhamdulillah berkat doa dan sokongan ibu bapa, saya berjaya menamatkan pengajian di sekolah penerbangan dan kini mampu terbang sama tinggi dengan juruterbang lain.
“Lebih membanggakan, saya juga pernah dinobatkan sebagai ‘top gun’ iaitu istilah pelajar terbaik di sana,” jelasnya.
Ketika ditanya cabaran bekerja dalam suasana dimonopoli kaum lelaki, Nurul Sabrina menjelaskan, pernah wujud beberapa persepsi seakan mempersoalkan kredibilitinya dalam mengendalikan pesawat.
“Persepsi itu pernah dihadapi saya sebelum ini ketika mula-mula menjadi juruterbang, namun selepas membuktikan keupayaan berada sama tinggi dengan kaum lelaki, ia sudah tiada. Kini, rakan-rakan juruterbang sentiasa membantu dan memberi tunjuk ajar, seterusnya membuatkan saya makin bersemangat untuk meneroka dunia penerbangan yang tiada penghujung,” katanya.
Nurul Sabrina turut menitipkan pesan kepada wanita muda yang ingin meneroka bidang penerbangan untuk sentiasa memasang impian besar dan bekerja keras merealisasikan mimpi itu.
“Setiap wanita, kalian harus ada impian yang besar, kejar cita-cita itu dengan kerja keras walaupun banyak halangan dan cabaran bakal menanti di hadapan.
“Mungkin dalam perjalanan mencapai impian itu, banyak halangan dan cabaran, tetapi kalian perlu terus kuat dan perlu bekerja keras,” katanya.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai perancangan dalam 10 tahun akan datang, Nurul Sabrina menyifatkan, impian mengemudi pesawat komersial terbesar Airbus A380 antara yang diidamkannya.
“Seperti saya, impian besar seterusnya ialah saya mahu terus meneroka bidang penerbangan dan berhasrat mengemudi pesawat Airbus A380 suatu hari nanti.
“Ketika ini, saya mengemudi Airbus A320, iaitu pesawat berbadan kecil, mungkin selepas ini ialah Airbus A330 dan impian seterusnya mahu menerbangkan Airbus A380,” katanya.
















