IPOH – “Best kalau ayah ada, takdelah mama buat semua”.
Demikian luahan Nur Aqeela Rawida, 7, anak bongsu kepada Sarjan Mohd. Roslan Abd. Rahim yang maut dalam kemalangan membabitkan kenderaan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) dengan lori muatan batu di Kilometer 15, Jalan Sungai Manik, Teluk Intan pada 13 Mei lalu.
Bagi Nur Aini Samiun, 45, kata-kata Nur Aqeela itu cukup meruntun jiwa, lebih-lebih lagi apabila tahun ini merupakan kali pertama mereka sekeluarga menyambut Aidilfitri tanpa Mohd. Roslan.
Menurut ibu kepada tiga cahaya mata itu, walaupun hatinya masih diselubungi kesedihan, dia tetap berusaha meneruskan rutin demi memastikan anak-anak tidak terlalu berasa kehilangan bapa mereka.
“Sudah 15 tahun saya hidup bersama arwah, apa yang kami biasa buat ketika dia masih hidup, itu juga yang saya teruskan untuk anak-anak, saya tidak mahu mereka rasa kekurangan dan sedih menyambut raya.
“Saya buat persiapan untuk anak-anak sahaja, kasihan kalau mereka sedih, mereka juga mahu beraya. Cuma untuk diri sendiri, saya tiada rasa mahu beraya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Kinding Raya, Tanjung Rambutan di sini semalam.
Mengimbau kenangan, Nur Aini berkata, arwah suaminya memainkan peranan besar dalam menceriakan sambutan Aidilfitri mereka sekeluarga termasuk menghias rumah dan menyediakan keperluan perayaan.
Malah katanya, arwah juga gemar melayan anak-anak bermain bunga api sehingga mereka sering bertanya sama ada mahu membelinya seperti dahulu.
“Sebelum ini, setiap kali hari raya, saya yang teruja membuat persiapan dan arwah hanya ikut saja. Kalau arwah ada, dia yang akan bantu uruskan rumah seperti potong rumput, baiki apa yang rosak dan pasang lampu raya.
“Di kawasan perumahan ini, ada pertandingan lampu raya. Rumah lain semua sudah pasang, rumah kami yang tiada. Lampu yang ada pun dah rosak, itu pun arwah yang pasang dulu,” katanya.
Tambah Nur Aini, kehilangan Mohd. Roslan memberi kesan mendalam kepada anak-anak, meskipun mereka sebenarnya memahami bahawa bapa mereka telah pun meninggal dunia.
Katanya, walaupun berdepan ujian berat, Nur Aini tetap bertekad untuk memastikan anak-anaknya dapat menikmati Aidilfitri seperti kanak-kanak lain.
“Saya hanya mahu mereka gembira. Saya selalu ingatkan diri bahawa saya masih ada mereka yang perlu dijaga. Itu yang memberi saya semangat untuk terus kuat,” katanya.
Selain Nur Aqeela, Allahyarham Mohd. Roslan meninggalkan dua anak lagi iaitu Muhd. Raqin Najmi, 14, yang juga menghidap sindrom down dan Muhd. Riqzi Nazhan, 10. – KOSMO! ONLINE














