KOTA BHARU – Seorang penggangur didenda RM1,500 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan dengan sengaja mencederakan seorang wanita yang juga bekas tunangnya di sebuah rumah pada bulan lalu.
Tertuduh, Syed Zamri Syed Zainuddin, 20, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Rais Imran Hamid.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Putri Fasha Felisa Mohd. Izhan, 19, di sebuah rumah di Taman Ehsan di sini kira-kira pukul 5.30 petang pada 21 Februari lalu.
Pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Syamsul Ikhmal Ramli manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Nik Nazriani Nik Ab. Rahman.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM1,500 atas pengakuan salah tertuduh selain memerintahkan hukuman penjara empat bulan sekiranya gagal membayar denda yang ditetapkan.
Syed Zamri membayar denda yang ditetapkan mahkamah.
Mengikut fakta kes, Putri Fasha Felisa berada di rumah sewa Syed Zamri yang merupakan tunangnya di Taman Ehsan di sini kira-kira pukul 5.30 petang pada 21 Februari lalu.
Semasa berada di rumah itu, berlaku pertengkaran dan pergelutan antara mereka sehingga menyebabkan Putri Fasha Felisa mengalami kecederaan lebam pada bahagian lengannya.
Kosmo! Online sebelum ini melaporkan, hanya kerana enggan berbuka puasa bersama-sama, anak perempuan kepada pengasas kosmetik dan pemilik restoran terkenal, JL Fara cedera pada beberapa anggota badan selepas dipercayai dibelasah bekas tunangnya di sebuah rumah di Kampung Kedai Lalat di sini pada 21 Februari lalu.
Ibu mangsa, Fara Sharina Zamari, 37, berkata, dalam kejadian itu, anak sulungnya yang berusia 19 tahun dikatakan dipukul, dicekik sebelum diseret bekas tunangnya yang juga merupakan individu yang dikenali di media sosial. – KOSMO! ONLINE














