TANAH MERAH – Hajat enam sekeluarga untuk pulang menyambut Hari Raya Aidilfitri di kampung halaman tidak kesampaian apabila dua daripada mereka maut dalam kemalangan di Jalan Machang-Tanah Merah dekat Bandar Baru Tanah Merah di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4.30 pagi itu, Wan Rokiah Wan Ahmad, 64 dan cucunya, Nur Zara Zakirah Abdul Aliyy, 14, meninggal dunia di lokasi kejadian manakala empat lagi ahli keluarga cedera.
Komander Operasi Balai Bomba dan Tanah Merah, Hamdan Abdullah berkata, pihaknya yang menerima panggilan kecemasan terus bergegas ke lokasi dan mendapati semua mangsa telah dikeluarkan oleh orang awam.
Menurutnya, pemeriksaan di lokasi kejadian mendapati, nahas itu melibatkan sebuah kereta jenis Perodua Myvi yang dinaiki enam sekeluarga tersebut dan sebuah BMW 5 Series.
“Kereta dinaiki kedua-dua mangsa dipandu oleh anak kepada Wan Rokiah yang berusia 38 tahun dan mereka dipercayai sedang dalam perjalanan dari Rawang Perdana, Selangor ke Tanah Merah untuk pulang ke kampung bagi meyambut Aidilfitri.
“Seorang lelaki berusia 37 tahun yang merupakan pemandu kereta jenis BMW 5 Series selamat, namun keretanya terbalik di lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Hamdan memberitahu, kedua-dua mangsa yang maut diserahkan kepada polis manakala mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Tanah Merah untuk rawatan lanjut. – KOSMO! ONLINE














