SEPANG – Jumlah pergerakan penumpang di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 2 khususnya bagi laluan domestik dilaporkan mula sesak hari ini dengan kehadiran anak perantau untuk pulang meraikan Aidilfitri.
Berdasarkan tinjauan Kosmo! di KLIA2, peningkatan itu berikutan ramai warga kota mula membuat perjalanan awal bagi mengelakkan kesesakan khususnya pada hari terakhir menjelang sambutan Syawal.
Ketika ini, antara penerbangan domestik yang menjadi pilihan dan menunjukkan peningkatan aliran penumpang termasuklah laluan ke Kota Bharu, Kelantan dan Kota Kinabalu, Sabah.
Menurut seorang pekerja swasta, Farah Awang Kechik, 34, beliau mengambil keputusan pulang ke Kota Bharu menaiki pesawat berikutan tidak sanggup berdepan kesesakan jalan raya yang mampu mencecah belasan jam.
“Memandangkan saya mempunyai anak kecil, kesian kepadanya jika perlu menghadap kesesakan jalan raya yang lama lebih-lebih lagi pada musim perayaan.
“Jadi, antara pilihan terbaik ialah pulang menaiki pesawat meskipun harga tiket penerbangan sedikit mahal berbanding jika pulang menaiki pengangkutan awam lain,” katanya kepada ketika ditemui Kosmo! di sini.
Sementara, seorang lagi penumpang yang pulang ke Kota Kinabalu, Sabah, Khalid Tony,39, berkata, dia dan keluarga mengambil keputusan pulang lebih awal bagi membolehkan mempunyai lebih masa berada di kampung halaman.
“Saya bimbang jika pulang pada hari-hari terakhir Ramadan, suasana di KLIA2 akan bertambah sesak dan mungkin menyebabkan sedikit rasa kurang selesa.
“Jadi, saya dan keluarga memilih pulang seminggu lebih awal bagi memastikan perjalanan pulang ke kampung halaman lebih tenang dan kurang sesak,” katanya.
Sementara itu, AirAsia turut menasihatkan penumpang di KLIA2 merancang perjalanan lebih awal bagi memastikan pengalaman perjalanan yang lebih lancar dan selesa.
Susulan itu, AirAsia dalam satu kenyataan berkata, penumpang dinasihatkan mendaftar masuk secara kendiri melalui aplikasi AirAsia MOVE yang tersedia seawal 14 hari hingga satu jam sebelum waktu perlepasan yang dijadualkan.
“Penumpang juga dinasihatkan memuat turun aplikasi AirAsia MOVE bagi mendapatkan informasi terkini mengenai tempahan penerbangan termasuk kemaskini penerbangan melalui pautan ‘Flight Status’ pada aplikasi tersebut.
“Perkhidmatan daftar masuk melalui kaunter hanya tersedia untuk tetamu kurang upaya, tetamu yang melakukan perjalanan bersama bayi (di bawah umur 24 bulan), tetamu yang hamil, warga emas dan remaja yang melakukan perjalanan sendirian,” katanya.
Selain itu, penumpang dinasihatkan tiba awal di lapangan terbang sekurang-kurangnya dua jam lebih awal bagi penerbangan domestik dan tiga jam bagi penerbangan antarabangsa semasa tempoh perjalanan puncak.
“Kaunter daftar masuk akan ditutup satu jam sebelum waktu perlepasan yang dijadualkan di KLIA2 dan 45 minit sebelum waktu perlepasan bagi penerbangan domestik di lapangan terbang lain seluruh Malaysia,” kata kenyataan itu. – KOSMO! ONLINE














