fbpx
ANGGOTA polis mengangkat mayat lelaki yang dipercayai terkena renjatan elektrik ketika cuba mencuri kabel elektrik di kawasan tanah lapang di Taman Rapat Perdana, Ipoh semalam.

TNB beri kerjasama penuh siasatan kes tiga maut kena renjatan elektrik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Tenaga Nasional Berhad (TNB) memberi kerjasama penuh kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam siasatan insiden tiga individu yang dipercayai cuba mencuri kabel di Taman Rapat Mutiara, Ipoh, Perak maut akibat terkena renjatan elektrik semalam.

TNB dalam satu kenyataan media berkata, pihaknya yang digerakkan ke tempat kejadian memberikan kerjasama penuh kepada PDRM serta Suruhanjaya Tenaga bagi menjalankan siasatan lanjut.

“TNB ingin mengingatkan orang ramai bahawa pepasangan elektrik seperti tiang, kabel dan talian elektrik adalah berbahaya serta tidak boleh disentuh atau diceroboh oleh mana-mana pihak.

“Sebarang perbuatan mengganggu atau merosakkan pepasangan elektrik bukan sahaja menyalahi undang-undang, malah boleh mengundang risiko renjatan elektrik yang boleh membawa maut,” kata kenyataan itu hari ini.

TNB turut menasihati orang ramai supaya menjauhi pepasangan elektrik dan segera melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan kepada pihak berkuasa atau TNB bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini.

Kosmo! semalam melaporkan, tiga lelaki maut akibat terkena renjatan elektrik dipercayai ketika cuba mencuri kabel di kawasan tanah lapang di Taman Rapat Perdana, di Ipoh.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Muhammad Najib Hamzah dipetik berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian di kawasan tiang elektrik milik TNB itu pada pukul 10 pagi.

Katanya, bertindak atas maklumat, sepasukan polis ke lokasi kejadian dan menemui tiga lelaki warga tempatan dalam keadaan tidak sedarkan diri, yang kemudian disahkan meninggal dunia.

“Siasatan awal mendapati ketiga-tiga lelaki berusia lingkungan 35 hingga 50 tahun itu terkena renjatan elektrik ketika cuba memotong kabel elektrik pada tiang TNB,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI