JAKARTA – Jemaah sebuah masjid di Depok, wilayah Jawa Barat terkejut apabila seorang lelaki meninggal dunia semasa menunaikan solat tarawih secara berjemaah, lapor portal berita Harian Basis.
Kejadian berlaku sekitar pukul 8 malam (waktu tempatan) di Masjid Jami’ Babussalam kelmarin.
Rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) dimuat naik di platform Instagram oleh akaun @ntvnews.id menunjukkan orang ramai menghampiri arwah selepas selesai solat tarawih dua rakaat.
Ketua Dewan Kemakmuran Masjid (DKM) Masjid Babussalam, Jalaludin berkata, rumah arwah bernama Marji Asmadi, 55, terletak tidak jauh dari masjid.
“Jemaah lain meneruskan solat sehingga selesai. Semasa sujud, arwah sempat mengerang kesakitan.
“Selama arwah masih hidup, dia rajin mengaji dan sering melaungkan azan di masjid ini. Bahkan, dia sempat melaungkan azan untuk waktu Maghrib dan Isyak sebelum meninggal dunia,” katanya.
Arwah dikebumikan sekitar pukul 11 pagi (waktu tempatan) semalam. – AGENSI














