PHNOM PENH – Lebih 20,000 rakyat Kemboja masih menjadi pelarian di sempadan dengan Thailand susulan pertempuran pada tahun lalu, kata pakar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu(PBB), Tom Andrews semalam, sambil menggesa Phnom Penh dan Bangkok menyelesaikan krisis tersebut.
Pertikaian sempadan yang telah lama berlarutan meletus menjadi pertempuran pada Julai dan Disember 2025, mengorbankan berpuluh-puluh orang.
Thailand dan Kemboja kemudian bersetuju mengadakan gencatan senjata pada Disember 2025 tetapi saling menuduh pihak satu lagi melanggar persetujuan tersebut.
“Undang-undang antarabangsa sangat jelas. Mereka yang hilang tempat tinggal dalam situasi seperti ini mempunyai hak untuk pulang ke rumah,” kata Andrews semalam.
Menurutnya, 650,000 orang awam Kemboja hilang tempat tinggal menjelang akhir 2025, manakala 20,000 lagi masih menjadi pelarian.
Beberapa bandar dan kampung kini diduduki oleh tentera Thailand, katanya, manakala kawat berduri dan penghadang menghalang orang ramai daripada pulang ke rumah.
Bangkok menegaskan bahawa pihaknya hanya menuntut semula tanah Thai yang telah diduduki oleh rakyat Kemboja. – AFP














