PUTRAJAYA- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan perbincangan pusingan kedua dengan beberapa pemimpin negara Arab dan dunia Islam bagi membincangkan perkembangan terkini krisis serantau susulan ketegangan melibatkan Israel dan Iran.
Beliau berkata, komunikasi tersebut melibatkan pemimpin di Oman, Arab Saudi, Qatar, Kuwait, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Turkiye serta Iran bagi mendapatkan gambaran menyeluruh mengenai situasi di rantau berkenaan.
Menurutnya, Malaysia turut menyuarakan kebimbangan bahawa walaupun pihak yang terlibat secara langsung adalah Israel dan penyokongnya termasuk Amerika Syarikat, kesan ketegangan tersebut dirasai di seluruh dunia Islam khususnya di rantau Asia Barat.
“Saya telah berhubung dengan para pemimpin negara-negara ini. Pertama, Malaysia dengan sokongan dwipartisan semua Ahli Parlimen mengecam serangan terhadap Iran. Kita juga merakamkan ucapan takziah atas pemergian Ayatollah Ali Khamenei serta ahli keluarganya.
“Dalam pusingan kedua perbincangan dengan para pemimpin tersebut, kita menyuarakan kebimbangan kerana walaupun pelaku utama adalah Israel dan pihak yang menyokongnya, kesannya dirasai di seluruh dunia Islam,” katanya ketika berucap pada majlis peluncuran Mushaf Malaysia Madani di Kompleks Nashrul al-Quran, di sini hari ini.
Anwar berkata, Malaysia menghargai jaminan yang diberikan oleh pihak Iran bahawa perkembangan semasa tidak akan membawa kepada konflik atau pertempuran sesama negara Islam.
Beliau turut memaklumkan bahawa dalam komunikasi dengan Menteri Luar Iran, negara itu memberi jaminan jelas bahawa situasi berkenaan tidak akan mencetuskan pertembungan antara negara-negara Islam.
Anwar menegaskan, Malaysia akan terus memainkan peranan melalui hubungan persahabatan dengan negara-negara Islam tersebut bagi meredakan ketegangan di rantau tersebut.
Pada masa sama, beliau turut mengadakan perbincangan berulang dengan Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdoğan bagi mencari jalan terbaik untuk memastikan krisis itu dapat ditangani secara aman.
“Situasi yang berlaku ketika ini amat sukar dan kompleks. Saya dapat memahami apabila sesebuah negara berhadapan dengan keangkuhan dan agenda neo-imperialis sebegini, bukan mudah untuk meminta mereka menahan diri.
“Namun saya percaya menjadi tanggungjawab kita, berdasarkan hubungan erat dan persahabatan kita bukan sahaja dengan Iran tetapi juga dengan negara-negara Islam serta melalui perbincangan berulang dengan Erdoğan untuk terus berdoa agar krisis ini dapat diselesaikan,” katanya.
Beliau turut mengingatkan bahawa dunia tidak boleh melupakan penderitaan rakyat Palestin di Gaza, Palestin yang terus berdepan konflik berpanjangan, khususnya ketika umat Islam sedang melalui bulan Ramadan.
Menurutnya, perpaduan dan kerjasama antara negara Islam amat penting bagi memastikan keamanan serta kesejahteraan dapat terus dipelihara. – KOSMO! ONLINE














