fbpx
TIDAK berasa tertekan untuk berdepan sebarang soalan cepu emas, terutama topik jodoh, perkara dianggap Daiyan sebagai tanda keprihatinan orang terhadap dirinya. – ISKANDAR ISHAK

‘Mak cik-mak cik bukan menyibuk tanya jodoh, mereka prihatin’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SETIAP kali hari lebaran, golongan anak dara dan anak teruna pastinya tidak gemar apabila diasak dengan pertanyaan tentang status seperti ‘bila nak kahwin’ atau ‘sudah ada calon suami/isteri?’

Bagi sesetengah individu, soalan cepumas sebegitu adakalanya boleh merimaskan, namun berbeza buat pemilik nama Daiyan Trisha.

Sejujurnya, penyanyi berusia 33 tahun itu tidak pernah menganggap perkara tersebut sebagai ‘busybody’. Dia juga bersyukur apabila keluarga memahami hala tuju kehidupannya ketika ini.

“Sebenarnya tiada soalan panas pun yang saya dapat dan mereka macam tidak kisah sangat.

“Selalunya mereka banyak bertanya tentang projek atau kerja saya selepas ini.

“Tahun lalu banyak tanya tentang lagu Jom Raya. Itu sahaja, alhamdulillah tiada yang panas,” katanya kepada HibGlam.

Kata pelakon drama Di Sebalik Jubah itu, dia memahami tindakan segelintir invididu lebih berusia yang bertanyakan soalan peribadi kerana dianggap sebagai sikap ambil berat sekali gus dapat mendoakan jodoh buat dirinya.

“Tapi kalau ada soalan begitu sekali pun, tiada masalah sebab mereka tahu saya tidak fokus ke arah (perkahwinan) itu lagi.

“Saya juga faham mak cik-mak cik bukan nak menyibuk, tetapi prihatin tentang hidup kita.

“Saya akan jawab tiada jodoh lagi dan tunggu saja. Tak perlu mencari sebab jodoh akan hadir bila tiba waktunya, insya-Allah,” ujarnya.

DAIYAN memperuntukan RM2,000 hingga RM3,000 sebagai duit raya atau sedekah menjelang Syawal nanti.

Rutin raya

Kebiasaan tahun-tahun sebelum ini, Daiyan atau nama penuhnya Daiyan Trisha Mohd. Nasaruddin meraikan Hari Raya Aidilfitri di kampung halaman di Kuantan, Pahang.

Berada di Kuantan selama seminggu, dia berkata, rutin hari rayanya sama seperti individu lain termasuk melayan tetamu dan sibuk berada di dapur.

“Raya di Kuantan seronok sebab kampung saya ada dusun dan sungai di belakang rumah.

“Kalau tanya rutin, biasa saja seperti tunaikan solat sunat hari raya, salam-bersalaman, bagi duit raya dan pergi beraya.

“Kalau orang lain kongsi sempat tidur pada waktu petang, tidak pula bagi saya. Tak sempat tidur sebab ramai yang akan datang ke rumah atau kami sekeluarga yang keluar beraya.

“Bagi saya, selagi ahli keluarga masih bernyawa, raikan hari raya sepuas-puasnya dengan mereka sebab momen tersebut kita tak akan dapat lagi selepas ini,” jelasnya.

Ditanya tentang pemberian duit raya, Daiyan bukan sahaja berkongsi rezeki dengan sanak saudara tetapi juga penghuni di sebuah rumah orang tua terletak di Kajang, Selangor.

“Setiap tahun saya akan pergi beraya di sebuah rumah orang tua di Kajang.

“Itu seperti rumah kebajikan ‘angkat’ jugalah.

“Di situ, saya akan peruntukkan duit raya sekitar RM2,000 hingga RM3,000. Duit raya juga satu sedekah dan saya seronok memberi sementara masih mempunyai rezeki,” ujarnya sebelum mengakhiri perbualan. – KOSMO ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI