PENGENDALI Selangor FC, Kim Pan-gon mengakui risau dengan prestasi ‘lemau’ pasukan itu di tempat lawan dalam usaha memburu keputusan positif menjelang perlawanan getir menentang Kuala Lumpur City (KL City) dalam aksi Liga Super, malam ini.
Menurut Pan-gon, barisan pemain Gergasi Merah tiada masalah untuk melakar kemenangan pada aksi di laman sendiri sejak membimbing pasukan pada Januari lepas, tetapi momentum itu gagal diteruskan ketika bertandang di tempat lawan.
Situasi ini terbukti apabila usaha Selangor untuk melebarkan status selaku pasukan di kedudukan kedua Liga Super tidak kesampaian selepas keciciran mata apabila seri bertemu Melaka FC dan Terengganu FC (TFC) sebelum ini.
“Memang benar sangat penting buat pasukan untuk menang di laman sendiri tetapi kita perlu tingkatkan lagi prestasi apabila bertandang di tempat lawan.
“Banyak kelemahan yang saya dapat lihat ketika pasukan bermain di tempat lawan selepas seri beberapa perlawanan selain pemain juga tidak berdisiplin selepas ada yang menerima layangan kad merah,” katanya.
Aksi derbi Lembah Klang malam ini boleh dianggap sebagai perlawanan ‘penentuan’ dengan KL City dan Selangor bersaing sengit apabila berkongsi 39 mata di kedudukan kedua ketika saingan berbaki lima perlawanan.
Sementara itu, pemain import Selangor, Hugo Boumous menyeru rakan-rakan sepasukan menggandakan usaha untuk membawa pulang tiga mata dengan mempamerkan taktikal menyerang di Stadium Kuala Lumpur, Cheras, nanti.
“Mentaliti kami di atas padang adalah untuk menyerang sejurus wisel permulaan ditiupkan,” kata tonggak kelahiran Perancis itu.














