KUALA LUMPUR – Polis merakam keterangan 14 saksi bagi membantu siasatan berhubung dakwaan komplot menjatuhkan kerajaan yang didakwa boleh mengancam kestabilan negara.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk M. Kumar berkata, tindakan itu dilakukan di bawah Seksyen 112 Kanun Tatacara Jenayah.
Katanya, semakan dengan Jabatan Imigresen mendapati beberapa saksi penting meninggalkan negara melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada Januari dan Februari lalu.
“Polis sedang meneruskan usaha untuk mengesan saksi-saksi tersebut bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Polis komited menjalankan siasatan secara telus mengikut peruntukan undang-undang sedia ada dan menasihati orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi bagi menghormati prinsip keadilan jenayah di negara ini.
Pada 27 Februari lalu, Ketua Polis Negara, Mohd. Khalid Ismail mendedahkan pihaknya menyiasat dakwaan mengenai komplot menjatuhkan kerajaan dipercayai membabitkan seorang tokoh tempatan berpengaruh dan sebuah agensi media antarabangsa.
Siasatan itu dilaksanakan Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bahagian Pendakwaan/Undang-Undang, JSJ Bukit Aman mengikut Seksyen 124B Kanun Keseksaan iaitu melakukan aktiviti yang memudaratkan demokrasi berparlimen.
Media sebelum ini melaporkan sebuah keluarga berpengaruh didakwa mendalangi komplot tersebut dan menggunakan platform media antarabangsa serta pelobi luar negara bagi memberi tekanan kepada kerajaan.
Dakwaan itu terkandung dalam laporan yang dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields sebelum tular di media sosial.
Pengadu mendakwa gerakan tersebut membabitkan ahli keluarga terdekat seorang bekas menteri yang pernah mempunyai pengaruh besar dalam landskap politik dan ekonomi negara.
Berdasarkan kandungan laporan itu, pengadu mendakwa rancangan tersebut didalangi isteri bekas menteri berkenaan untuk menggunakan beberapa platform media antarabangsa bagi membentuk tekanan terhadap kerajaan di peringkat global.
Gerakan tersebut dipercayai menyasarkan tekanan terhadap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia serta Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim termasuk berkaitan dakwaan dalam siasatan membabitkan individu tertentu. – KOSMO! ONLINE














