
LENGGONG – Keberanian untuk mencuba sesuatu yang baharu mendatangkan pulangan kepada seorang wanita dari Kampung Banggol Belimbing, di sini.
Wanita berkenaan, Nor Fadzilah Jaa, 40, berkata, dia sama sekali tidak menyangka akan bergelar seorang peniaga keropok lekor kerana dirinya hanya berpengalaman berniaga kuih-muih dan kek sebelum ini.
Jelasnya, peluang berniaga keropok lekor hadir apabila dia ditawarkan untuk menyertai Program Usahawan Payung Asnaf (Upaya) oleh Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) pada September tahun lalu.
“Saya sebenarnya berminat untuk menjalankan perniagaan lain, tetapi peluang yang diberikan oleh MAIPk adalah berniaga keropok lekor. Pada mulanya saya memang tidak begitu pasti, tetapi sebenarnya ia mampu dilaksanakan.
“Tambahan pula dengan adanya bimbingan dari MAIPk, saya kini mampu menguruskan perniagaan keropok lekor seorang diri, sekali gus membuktikan ia bukanlah sesuatu yang mustahil meskipun bagi mereka yang tiada pengalaman,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.
Ibu kepada lima orang anak itu berkata, menerusi Upaya, dia menerima bantuan berbentuk kelengkapan perniagaan seperti khemah, peralatan memasak, rak serta meja.
Nor Fadzilah kini mampu menjana pendapatan sekitar RM150 sehari atau lebih RM1,000 sebulan daripada perniagaan tersebut.
Pendapatan itu digunakan untuk membantu suami menyara keluarga, selain turut menjadi modal pusingan untuk perniagaan kuih-muih yang diusahakannya pada sebelah pagi.
“Biasanya di waktu pagi saya buat kuih yang akan diletakkan di kedai-kedai di sekitar Lenggong. Bermula pukul 2.30 petang pula, saya berniaga keropok lekor,” katanya.
Nor Fadzilah merupakan seorang daripada penerima manfaat Upaya daripada MAIPk, yang merupakan salah satu pelaksana pelan Perak Sejahtera 2030 cetusan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.
Program Upaya diperkenalkan MAIPk bagi membantu peserta asnaf menjalankan aktiviti perniagaan dalam bidang makanan.
Menerusi program tersebut, setiap peserta akan menerima bantuan menyeluruh merangkumi peralatan perniagaan, latihan intensif, sesi pemantauan dan bimbingan berterusan.














